Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak umat Islam terus memperbanyakkan amal ibadah seperti menunaikan solat tarawih di masjid dan surau sepanjang Ramadan, yang sudah hampir dua minggu ini.

Perdana Menteri berkata umat Islam seharusnya tidak melepaskan peluang untuk memohon keampunan Allah SWT di bulan yang mulia ini.

“Saya harap kita kekal bersemangat untuk memeriahkan malam-malam Ramadan di masjid-masjid dan surau-surau, menunaikan tarawih bersama jemaah lain.

“Bagi yang mempunyai kekangan, tunaikanlah tarawih apabila berkesempatan walau seorang diri. Insya-Allah, dengan keikhlasan dan keimanan dalam beribadat, kita akan mendapat keredhaanNya,” katanya dalam catatan terbaharu di blog NajibRazak.com bertajuk ‘Manfaat Tarawih di Bulan Ramadan’, hari ini.

Najib berkata istimewanya bulan Ramadan, bukan sahaja dapat menambah baik hubungan dengan Allah SWT, bahkan berpeluang untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama keluarga dan ukhuwah sesama Islam, bersama-sama menunaikan ibadah dan bersolat tarawih.

Najib turut memetik hadis Rasulullah S.A.W, diriwayatkan oleh Muslim, yang mengingatkan umat Islam manfaat menunaikan solat tarawih.

“Sesiapa yang mendirikan solat (tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” katanya memetik hadis itu.

Perdana Menteri melahirkan syukur kerana masjid-masjid dan surau-surau menjadi tumpuan masyarakat beragama Islam daripada golongan muda hingga ke tua untuk menunaikan ibadah tarawih.

“Contohnya, semalam di Masjid Pengkalan Aur, Perak, saya gembira melihat ramai jemaah yang hadir, semuanya mahu mencari keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast