Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) ketika menjawab soalan yang diberikan salah seorang kakitangan prasarana sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia, Dato Azmi Abdul Aziz (kanan) pada Program Sepetang Perdana Menteri Bersama Warga Kerja Prasarana di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menggesa Prasarana supaya menjaga kualiti perkhidmatan sebaik mungkin bagi mengelak daripada kerajaan dipersalahkan sekiranya berlaku sesuatu kesilapan.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah syarikat yang menguruskan sistem pengangkutan awam yang sangat penting kepada rakyat, Prasarana perlu memastikan tidak ada langsung kesilapan sepanjang perkhidmatan itu.

“Saya harap oleh kerana sistem pengangkutan ini begitu dekat di hati rakyat, kita mesti berusaha ke arah sifar kesilapan.

“Jangan ada kecacatan daripada segi perkhidmatan kita sehinggakan ada kerosakan dalam perkhidmatan,” kata Najib semasa perjumpaan dengan warga kerja Prasarana Malaysia Berhad di Dewan Bank Rakyat di sini hari ini.

Najib juga mahu satu penanda aras yang tinggi diletak sebagai garis panduan untuk warga kerja Prasarana kerana sekiranya berlaku sebarang kesilapan yang akan dipersalahkan kemudian adalah kerajaan.

“Jadi maknanya benchmark mesti tahap cukup tinggi. Walaupun yang berlaku di peringkat itu yang dipersalahkan biasanya Perdana Menteri. Malaysia ini pelik,” kata beliau.

Najib kemudiannya memberikan contoh mengenai harga minyak apabila setiap kali kenaikan berlaku yang dipersalahkan hanya kerajaan tetapi apabila harga turun tidak ada pula pujian diberikan.

“Kalau harga minyak naik Perdana Menteri dipersalahkan tapi harga turun tidak ada pula pujian. Sehari dua ini harga petrol turun patut kata tahniah kepada Perdana Menteri tapi tidak ada pula,” ujarnya.

Jelas Najib, penekanan agar kualiti perkhidmatan itu dijaga adalah demi memastikan supaya sebarang imej buruk tidak terpalit kepada kerajaan semata-mata.

“Tuan-tuan dan puan-puan mesti faham saya tekankan perkara ini sebab mereka selalu salahkan Perdana Menteri walhal kita berada dalam satu kerajaan di mana kita ada cabang-cabang, ada sistem-sistem yang kadangkala berlaku mungkin seorang juruteknik buat silap on the ground or tak buat check betul-betul tapi bila sistem breakdown kerajaan dipersalahkan,” katanya lagi.

Menurut Najib, ramai orang yang masih tidak menghargai dan mengambil mudah perkara yang kerajaan cuba laksanakan bagi memberi kesenangan kepada rakyatnya.

“Ramai orang tidak hargai atau ambil mudah perkara yang cuba kerajaan lakukan untuk memberi kesenangan kepada rakyat.

“Kerajaan terpaksa membuat keputusan tidak popular tapi itu sebenarnya adalah keputusan yang tepat.

“Kita akan berdepan pilihan yang sukar dan kerajaan terpaksa membuat keputusan yang sukar. Persoalannya adalah kamu berani membuat keputusan sukar itu?” katanya lagi.

Prasarana bakal merasmikan satu lagi projek bersejarah pada 17 Julai depan, MRT Fasa Kedua bagi laluan Kajang-Sungai Buloh yang akan memulakan operasinya untuk digunakan oleh orang ramai. – MalaysiaGazette