Latheefa Koya

KUALA LUMPURBekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan semula saman pemula terhadap kerajaan bagi mengetepikan sabitan kes liwat II kerana mendakwa tidak mendapat perbicaraan yang adil sebelum ini.

Peguam Anwar, Latheefa Koya berkata, ia dibuat kerana pendakwaraya kerajaan iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah didakwa melanggar Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan selepas dibayar RM9.5 juta sebelum kes rayuan Anwar pada 7 Mac 2014.

“Kalau pendakwa itu sendiri dibayar RM9.5 juta dan dia buat kes ini semangatnya untuk memastikan beliau masuk penjara sahaja, bermakna Datuk Seri Anwar tidak sepatutnya berada dalam penjara walaupun sehari.

“Jadi kita sudah memasukkan satu permohonan bagi pihak Datuk Seri Anwar dan meminta beliau dibebaskan dengan serta-merta kerana satu hari Anwar masuk dalam (penjara), ia adalah satu kesalahan besar dan kita minta pihak kerajaan jawab,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan saman pemula itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sebelum ini, portal Sarawak Report melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa menyalurkan sejumlah RM9.5 juta ke dalam akaun peguam kanan, Muhammad Shafee sebelum Anwar disabitkan bersalah dan dihukum penjara lima tahun.

Latheefa juga mendakwa, bayaran itu dibuat kononnya bagi memastikan Anwar tidak berpeluang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang pada 23 Mac 2014.

“Macam mana dia (Shafee) boleh dibayar RM9.5 juta dalam kes ini. Dia dibayar dua minggu sebelum Datuk Seri Anwar disabitkan dan dihukum penjara lima tahun penjara pada tahun 2014.

“Tindakan ini juga dibuat secara tergesa-gesa untuk memastikan Anwar tidak dapat bertanding dalam PRK DUN Kajang,” katanya.

 

Sementara itu, Sivarasa Rasiah pula berkata, pemindahan wang RM9.5 juta itu bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dalam sidang Dewan Rakyat bahawa Shafee hanya dibayar RM1,000 untuk mengendalikan kes Anwar.

“Nancy Shukri kata, peguam Shafie ini tidak minta bayaran pun, tapi kerajaan kata kena bayar sedikit, jadi dia setuju RM1,000 saja,” katanya.

Sivarasa juga berkata, pembayaran sejumlah wang itu membuktikan wujudnya campur tangan politik dalam pertuduhan kes liwat II terhadap Anwar.

“Mahkamah mesti mengetepikan sabitan ini sebab gambaran kepada umum ialah perbicaraan ini jelas tidak adil lagi, ada tanda-tanda campur tangan,” – MalaysiaGazette