Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan

PETALING JAYA – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meragui sikap pembangkang yang pantang ada laporan Sarawak Report (SR) cepat-cepat mereka mengambil kesempatan menyalahkan kerajaan.

Ia termasuk pihak peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menunggu lama dan bertindak memfailkan saman pemula semalam berdasarkan laporan SR berkaitan wang RM9.5 juta.

Terdahulu, SR mendakwa peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik sebagai ketua pendakwa raya menerima bayaran RM9.5 juta dalam kes liwat II antara Anwar dengan Saiful Bukhari Azlan.

“Saya meragui, ada kepentingan dan tujuan tertentu. Ia mungkin boleh mendatangkan kerosakan atau huru hara kepada negara,” kata Musa dalam satu sidang media hari ini.

Musa juga mempersoalkan tindakan pembangkang yang memperbesarkan isu tersebut dengan terus memberi tekanan kepada kerajaan dan Muhammad Shafee untuk menjelaskan tuduhan dibuat oleh SR.

“Saya menjangkakan kalau ikut laporan diterima, mereka ingin menyatakan bahawa wang itu telah diberi untuk menentukan Anwar dipenjarakan.

“Itu bermakna adalah tujuan disebalik laporan tersebut,” katanya.

Jelas Musa lagi, jika pembangkang merasakan tuduhan tersebut adalah benar mereka sepatutnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat Shafee bagi merungkai kesahihan perkara itu.

“Biar SPRM siasat, bukan buat rayuan lagi di mahkamah. Pada saya, ini ada tujuan tertentu,” katanya.

Muhammad Shafee tidak memberi kenyataan berhubung tuduhan SR tersebut sebaliknya menunggu masa yang sesuai untuk memberikan penjelasan.

Apabila ditanya tujuan Musa bersuara dalam kes SR dan Anwar ini, beliau berkata, semua dilakukannya adalah demi menegakkan kebenaran dan menafikan dibayar oleh individu tertentu supaya membangkitkan isu tersebut.

“Kita nak tahu kebenaran, we are fighting for truth. Saya tidak dibayar sesiapa,” katanya.

Musa dalam sidang media sebelum ini juga membidas SR yang membuat tuduhan terhadap Muhammad Shafee tanpa mengemukakan bukti dan mengatakan beliau juga pernah berdepan perkara sama apabila dituduh menerima bayaran RM5 juta dalam kes liwat Anwar pada tahun 1999 lalu.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah pada 10 Feb 2015.

Pembangkang mendakwa laporan SR membuktikan wujudnya konspirasi politik terhadap Anwar, yang berulang-kali mendakwa pertuduhan berkenaan adalah direkayasa.

Semalam, Anwar melalui peguamnya, memfailkan saman pemula untuk mengketepikan sabitan bersalah itu berdasarkan dakwaan bahawa Muhammad Shafee telah dibayar RM9.5 juta. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.