Qatar
UAE, Arab Saudi, Bahrain dan Mesir melaksanakan boikot terhadap Qatar pada 2017 dengan memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan ke atas negara kecil yang kaya itu apabila mendakwa ia menyokong keganasan.

DOHA – Warga enam negara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada minggu ini bebas berada di negara Teluk itu, selaras dengan peraturan sedia ada, menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita Qatar, QNA.

Kenyataan Kementerian Dalam Negeri berkata, tiada perubahan dasar terhadap warga ‘negara saudara dan sahabat yang telah memutus dan mengurangkan hubungan diplomatik berikutan kempen berniat jahat dan bermusuhan terhadap Qatar’.

Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir memurtuskan hubungan dengan Qatar secara bersama pada isnin lalu, menuduh negara itu menyokong kumpulan-kumpulan militan Islam dan Iran dalam kemelut diplomatik terburuk negara-negara Teluk sejak sekian lama.

Tiga negara Teluk memberi tempoh selama dua minggu untuk pelawat dan warga Qatar meninggalkan negara masing-masing. Lebih teruk, UAE melarang warga Qatar menyambung perjalanan udara menerusi lapangan terbangnya.

Pergolakan itu telah memisahkan hubungan keluarga dan komersial, menimbulkan kekhuatiran dalam kalangan pekerja asing – khususnya warga Mesir yang merupakan kumpulan pekerja terbesar di Qatar – mengenai soal pemastautinan mereka.