Datuk Nasir Ibrahim. foto IQBAL BASRI, 13 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Pentingkan diri sendiri dan tamak dengan kuasa menyebabkan Pas Selangor sanggup melanggar keputusan Majlis Syura yang memutuskan hubungan dengan PKR, itu punca sebenar mengapa pemimpin Pas negeri tidak sanggup melepaskan jawatan mereka.

Penyelaras DUN BN Taman Templer, Datuk Ir Md Nasir Ibrahim berkata, parti Islam itu sebenarnya berada di persimpangan susulan keputusan badan tertinggi parti yang memutuskan hubungan dengan PKR.

“Saya lihat Pas ini dalam persimpangan yang besar kerana Majlis Syura mereka membuat satu keputusan yang mengatakan mereka talak tiga dengan PKR dan DAP khususnya.

“Tapi di Selangor ini uniknya apabila Majlis Syura buat keputusan begitu namun ADUN Pas pula sebaliknya membuat keputusan untuk kekal bersama dalam kerajaan yang ada,” kata Nasir kepada MalaysiaGazette dalam satu wawancara.

Nasir tidak terkejut dengan keputusan Pas Selangor kerana mereka sejak sekian lama sudah mengecapi kemewahan dan kesenangan dengan kemenangan dua penggal gabungan pembangkang memerintah di Selangor.

“Saya lihat ini lebih kepada personal gain (kepentingan diri sendiri), maknanya pulangan untung kepada individu terbabit terutamanya wakil rakyat Pas

“Jadi mana mungkin kita boleh buat satu keputusan yang berkualiti apabila ada dua pendapat yang berlainan, satu dari Majlis Syura dan satu lagi ADUN Pas di Selangor,” katanya.

Menurut Nasir yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang, tindakan Pas Selangor hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan pengundi memandangkan pemimpin atasan mereka hampir setiap hari membelasah PKR dan DAP tetapi di Selangor boleh berkawan pula.

“Ini menyukarkan dan akan menyebabkan rakyat Selangor terkeliru mana hala tuju kerajaan negeri, mana satu yang betul ini Pas atau PKR ini?

“Tapi sekiranya mereka firm dan keluar, saya rasa ini satu keputusan yang baik lagi mudah jika mereka ikut keputusan Majlis Syura itu, jadi baharu ada satu hala tuju yang jelas tapi malangnya mereka lebih fikir kepada kepentingan sendiri,” tegasnya.

Bagi Nasir, slogan negara berkebajikan yang dilaung Pas Selangor sudah tidak layak digunakan kerana apa yang jelas adalah mereka hanya mementingkan diri sendiri dan kuasa semata-mata.

“Itu kita boleh lihat sendiri sebagai contoh di kawasan Selayang ini, di mana pulangan di kawasan DUN itu sendiri bukan sahaja membabitkan ADUN tapi juga membabitkan ketua-ketua zon, ahli-ahli majlis, ketua-ketua JKK, jadi apabila pulangan itu yang mereka peroleh itu sangat besar mereka lupa perjuangan asal untuk menubuhkan sebuah kerajaan berkebajikan dan sistem ini keseluruhannya menjadi korup.

“Kerana landasan yang sekarang ini bukan landasan perjuangan Pas sebenar, tapi adalah landasan untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.

Pada 11 Mei, Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, yang menerajui kerajaan Selangor, selepas Muktamar Pas ke-63 di Alor Setar.

Badan tertinggi parti itu meluluskan usul supaya pimpinan parti menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti apabila PKR dilihat tidak menghormati Pas sebagai rakan sekutu mereka.

Bagaimanapun, Tiga anggota Exco Selangor daripada Pas mengabaikan keputusan dibuat dan kekal dalam kerajaan negeri. – MalaysiaGazette