Mohamad Haizan meninjau keadaan di aras satu Terminal Pengangkutan Awam Kluang, bandar Kluang, hari iniyang lengang dan kurang pengunjung

KLUANG – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar, berhasrat mengubah wajah lesu lokasi peniagaan di Terminal Pengangkutan Awam Kluang.

Menurut beliau, kedai-kedai yang terdapat di aras satu terminal tersebut tidak meriah dan tidak lagi rancak perniagaan seperti mula-mula beroperasi sebelum ini.

Menurutnya, keadaan terkini yang lengang tanpa pelanggan menyebabkan banyak gerai ditutup.

“Peniaga mahukan pembaharuan segera dilakukan di lokasi tersebut yang kian ‘nazak’ itu.

“Peniaga yang saya temui mengeluh, tiada orang hendak makan di gerai mereka. Hendak balik modal pun susah, jauh sekali hendak untung. Mereka hanya kuatkan semangat sahaja untuk terus berniaga.

“Saya lihat dianggarkan ada 50 gerai tetapi yang cuma yang beroperasi lima atau enam gerai sahaja. Di sini ada gerai makan dan jual pakaian,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai Coach Haizan berkata demikian kepad pemberita ketika diemui berkempen di terminal berkenaan, hari ini.

Justeru Mohamad Haizan mahu membawa keluhan peniaga terbabit ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) jika menang sebagai wakil rakyat kelak.

“Kalau menang, saya akan bawa keluhan peniaga di sini. Saya bertindak sebagai pengimbang di DUN dan akan ceritakan masalah peniaga di terminal di sini. Paling utama tangga, perlu diganti dengan tangga bergerak atau eskalator.

“Sepatutnya kerajaan mewajahkan semula tempat ini, kerusi perlu tukar kerana agak ketinggalan zaman, begitu juga daripada segi pencahayaan perlu ditambah baik untuk menarik orang ramai naik ke tingkat atas,” katanya.

Terminal tersebut yang menempatkan lokasi perniagaan sejak 1995 kini semakin suram.

Rata-rata peniaga berharap pemimpin yang dipilih dalam PRK DUN Mahkota kali ini dapat membawa suara peniaga di situ dan usaha perlu dilakukan untuk menghidupkan semula kawasan terminal itu.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Mohamad Haizan, 61, akan bertemu dengan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi BN mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette