Sesi fotografi bersama Penyanyi, Aiman Tino selepas selesai Majlis Pelancaran Kurta by Sweet Aiman dan Lagu Raya Aiman Tino di Menara Mara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Walaupun menimbulkan kontroversi, namun ternyata ia tidak menjejaskan permintaan terhadap koleksi kurta yang diperkenal oleh penyanyi Aiman Tino apabila lebih 5,000 helai koleksi pakaian lelaki itu berjaya dijual.

Kurta yang dikenali Qurta by Sweet Aiman Fashion UniverCity itu dilancarkan seminggu sebelum Ramadan merupakan kerjasama antara syarikatnya, Sweet Aiman dan syarikat kosmetik, Wonder Glow Cosmetics Sdn. Bhd. (Wonder Glow).

Namun yang menjadi persoalan ketika itu apabila rekaan kurta itu nampak pendek dan seperti baju Melayu teluk belanga. Malah ada yang menyindir rekaan itu seperti baju kurung Kedah kerana kelihatan singkat bila dipakai.

Pengasas Wonder Glow, Datuk Ryzal Jamaludin berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mengeluarkan lagi koleksi kurta itu selepas pengeluaran pertama sebanyak 5,000 helai.

“Pihak kami menjangkakan jualan kurta ini akan melebihi 10,000 helai berdasarkan sambutan semasa yang semakin tinggi dan sentiasa mendapat keluhan ramai bakal pembeli yang kecewa kerana kehabisan stok di pasaran.

“Malahan jualan koleksi pakaian dijangka meningkat selepasa Ramadan ini dan pembeli akan masih membeli pada Syawal nanti kerana rekaan kurta itu yang universal untuk dipakai pada mana-mana majlis,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, baru-baru ini.

Sweet Aiman Fashion UniverCity itu boleh didapati 25 rangkaian pasaraya Mydin di seluruh negara pada harga RM79 selain butik Wonder Glow di Menara Mara di isni.

Pembeli yang bertuah juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM500,000 termasuk kereta Toyota, percutian ke Korea, motosikal Honda RS, telefon Samsung  S6 Edge dan LED TV menerusi peraduan yang dianjurkan.

Sementara itu, WonderGlow turut menganjurkan Majlis Iftar Sweet Aiman bersama 400 tetamu di Kluang, Johor baru-baru ini.

Pada majlis itu, pihaknya meraikan 80 anak-anak yatim dari Rumah Al-Zarafee dan Tahfiz, Kluang dengan menyumbang hamper barangan bernilai RM100 seorang dan selain bantuan kepada rumah tersebut.

Turut hadir menghiburkan tetamu adalah Aiman sendiri, Rohana Jalil, Wani, Zizi Kirana dan Fara Hazel. – MalaysiaGazette