Faizal (kiri) mendengar penerangan daripada anggota ketika meninjau tempat kebakaran di Kampung Sungai Udang, Klang, hari ini.

KLANG – Nasib 18 keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Sungai Udang, dekat sini, semalam mendapat perhatian segera UMNO Bahagian Kapar.

Keluarga berkenaan yang ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Teluk Pulai menerima bantuan kewangan daripada Ketua UMNO Bahagian, Datuk Faizal Abdullah.

Bantuan itu bagi meringankan beban mereka yang kehilangan harta benda dan barangan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun 10 keluarga yang terbabit dalam bencana itu adalah warga asing, tetapi atas dasar kemanusiaan, mereka turut diberi bantuan bagi meringankan beban.

Menurut Faizal, beliau akan berbincang dengan kementerian berkaitan untuk mencari jalan memastikan keluarga berkenaan mendapat tempat tinggal lebih selesa.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, UMNO Bahagian itu akan cuba memohon rumah menerusi program perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah melalui kementerian berkenaan.

Katanya, kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) itu dijual pada harga RM35,000 seunit dan keluarga berkenaan dianggap layak untuk memohonnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, sebanyak 18 rumah, lapan daripadanya milik warga tempatan hangus dalam kebakaran.

Sebanyak 11 keluarga kini ditempatkan di pusat penempatan sementara Dewan Serbaguna Teluk Pulai, manakala selebihnya tinggal dengan saudara-mara masing-masing.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Klang memberitahu, setakat ini punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette