Kebakaran besar di Figueiro dos Vinhos dan Castanheira de Pera telah mengorbankan banyak nyawa, foto New York Times

MADRID – Kebakaran hutan yang menyelubungi jalan raya di tengah-tengah Portugas mengorbankan 60 orang termasuk 30 pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kenderaan mereka.

Kebakaran itu bermula pada hari Sabtu dan merebak dengan cepat, kata Jorge Gomes, Setiausaha Negara bagi pentadbiran dalaman.

Perdana Menteri, Antonio Costa semasa lawatan ke kawasan sekitar Pedrogao Grande berkata, api yang masih mengganas pada petang Ahad itu telah menyebabkan tragedi kepada manusia

Agensi berita Lusa berkata, jumlah kematian mencecah 61 orang dan jumlah itu dijangka meningkat.

Gomes mengesahkan separuh daripada mereka mati ketika berada dalam kereta kerana dikelilingi oleh api semasa memandu di sepanjang jalan yang melalui kawasan yang padat dengan hutan antara Figueiro dos Vinhos dan Castanheira de Pera.

Mayat beberapa pemandu yang meninggal dunia selepas melarikan diri kenderaan mereka ditemui pada Ahad di sepanjang jalan-jalan yang sudah terputus hubungan akibat kebakaran hutan di tengah-tengah Portugal.

Salah satu mayat ditemui  di atas jalan raya dipercayai terperangkap di kawasan yang dikelilingi dengan hutan terbakar. foto Agensi

Pegawai berkata, mereka telah menemui 17 mayat berhampiran jalan, mungkin orang-orang yang cuba untuk melarikan diri dengan berjalan kaki apabila mereka sedar tidak ada cara untuk terus memandu.

Dua orang turut terbunuh dalam kemalangan kereta yang berkaitan dengan kebakaran itu.

Beberapa kediaman juga musnah manakala jalan-jalan raya ditutup disebabkan asap tebal.

Kira-kira 1,600 anggota bomba yang dibantu dengan pesawat dan helikopter sedang berusaha memadam kebakaran.

Spain turut menghantar dua pesawat bagi mengawal kebakaran.

Siasatan sedang dibuat punca pengguna jalan raya yang maut – adakah mereka terperangkap di jalan raya selepas pihak berkuasa menutup laluan bagi mengelak lebih ramai pengguna melalui laluan yang terlibat dalam kebakaran. – MalaysiaGazette