Home Nasional Kapal tangki minyak diesel milik Thailand disamun

Kapal tangki minyak diesel milik Thailand disamun

SONGKLA – Sebuah kapal tangki membawa minyak diesel milik syarikat Thailand disamun sekumpulan lelaki dipercayai lanun ketika berada di perairan luar Kuantan pada 23 Jun lepas.

Ketua Tentera Laut Thailand Bahagian ke-2 Laksamana Pornchai Pinthong berkata, sekumpulan enam atau tujuh lanun itu berjaya mencuri 1.5 juta liter minyak diesel daripada 3.8 juta liter muatan keseluruhan yang dibawa kapal itu.

“Kapal itu yang membawa muatan diesel dalam pelayaran ke Songkla dari Singapura,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kapal tangki dikenali CP14 itu yang membawa 17 anak kapal meneruskan pelayaran ke Thailand selepas kejadian dan selamat tiba di perairan Songkla petang semalam, katanya.

Kesemua lanun itu membawa senjata dan mengancam akan mencederakan anak kapal jika tidak mengikut arahan, katanya dan menambah, kesemua anak kapal bagaimanapun tidak dicederakan.

Beliau juga berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia berkenaan kejadian terbabit untuk tindakan lanjut.

Tentera Laut Thailand turut meminta kapal-kapal supaya berhati-hati ketika belayar di kawasan perairan terbabit berikutan ancaman daripada lanun.

Hari ini, Tentera Laut Thailand menghantar kapal tenteranya ke kapal tangki terbabit yang sedang berlabuh di perairan berhampiran Pulau Tikus, Songkla untuk memeriksa keadaan  kapal itu serta krunya.

Pemeriksaan turut disertai pegawai Jabatan Kastam serta Jabatan Khidmat dan Perlindungan Buruh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast