Reaksi Ahmad Yusoff Mohd Lajib, 28 tahun ketika sesi temubual pada Program Menyantuni Warga HIV di Rumah Darul Ukhwah Yayasan Al Ijabah Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 09 JUN 2017

KUALA LUMPUR -“Jika diberi peluang kedua, Usop mahu kahwin dengan wanita HIV senasib Usop,” demikian luah salah seorang penghuni Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah sebagai penutup kisahnya.

Sekilas pandang, Ahmad Yusoff Mohd Lajib, 28, yang lebih senang dengan panggilan Usop, tidak ubah seperti anak muda kebiasaan, tampak sihat, aktif dek tubuhnya yang sedikit sasa.
Namun, di sebalik raut wajah sihat, siapa sangka, lelaki yang petah menyusun kata ketika ditemuabual MalaysiaGazette baru-baru ini hanya mempunyai lebih kurang satu atau dua tahun sisa hayatnya.
Kisah yang mungkin boleh dijadikan iktibar ini bermula sejak 14 tahun lalu, ketika Usop mula mengadakan hubungan seks sejenis, ketika berada di tingkatan dua.
Berikutan laporan media berkenaan kes-kes dera melibatkan fizikal, mental dan seksual di sekolah menengah dan pondok semakin kerap muktahir ini, penulis tertanya sama ada ‘insiden’ tersebut dibuat secara paksa atau rela.
Jelas Usop, beliau mengesan naluri seksnya sejak di usia 14 tahun, dan mengadakan hubungan sejenis tanpa sebarang paksaan, selain hanya menurut naluri yang bagi sesetengah orang adalah songsang, dan ada pula di sesebuah negara atau kumpulan masyarakat yang mengangapnya sebagai legal.
 
“Pasal naluri seks saya, keluarga daripada awal lagi sedia maklum. Mereka tanpa henti bagi nasihat tapi jiwa muda kononnya, rebel, buat jelah. Saya mula cenderung untuk seks sejenis ini sejak tingkatan dua.”
Dipulau keluarga
Separuh daripada berat badan Usop susut dimakan penyakit, daripada 115kg kepada hanya lebih kurang 60kg.
Membesar dengan gaya hidup yang terlalu bebas, cubaan keluarga Usop untuk mengubah cara beliau menurut tuntutan naluri seksnya hanya menemui jalan mati.
Graduan Kuala Lumpur Metropolitan University College, Diploma Pengurusan Pelancongan itu hanya menurut jiwa rebel, yang terlintas di akal hanyalah untuk bergembira
seadanya.
Namun, kedegilan itu, tidak mampu bertahan lama apabila kakaknya mendesak supaya Usop membuat ujian HIV, selepas beberapa kali jatuh sakit luar biasa.
Separuh daripada berat badan Usop susut dimakan penyakit, daripada 115kg kepada hanya lebih kurang 60kg.
“Usop sempat kerja di agensi pelancongan sejak 2012 hingga penghujung 2013. Sejak tu dah mula sakit, bila dah rasa mula sakit tu kakak yang cadang untuk pergi klinik buat ujian HIV. Masa tu keadaan fizikal yang susut mendadak daripada 115kg kepada  65 sekarang.
“Lepas sejam ujian, doktor bagitahu saya pengidap HIV. Doktor tanya, nak bagitahu keluarga atau tidak, saya fikir, saya buat ujian tu pun sebab desakan keluarga, jadi saya bagitahulah. apabila mereka dah tahu, sedihlah juga, tapi benda ni semua pun dah jangka.
Apa yang menyentuh perasaan Usop ketika itu menurutnya, selang sehari daripada keputusan ujian HIV tersebut, kakaknya mencadangkan agar Usop mengangkat kaki daripada rumah dan tinggal di Darul Ukhwah.
“Masa mula-mula tu ada juga terfikir, kenapa saya terbuang ke sini, kenapa keluarga hantar saya untuk ke sini. Tapi saya positif, mungkin sebab mereka tidak tahu bagaimana penyakit tu boleh berjangkit, mereka tidak faham cara pengurusan penyakit tu,” ujarnya.
Masih ada yang sayang
Rentetan daripada virus yang semakin aktif, dan merebak, doktor mengesahkan terdapat tumbuhan di bahagian Usop yang turut menghadkan usianya untuk terus hidup.
Nasib tetap menyebelahi Usop, apabila salah seorang emak saudaranya, antara orang yang sentiasa memberi sokongan, motivasi yang menjadi sumber kekuatan Usop sehingga hari ini.
“Alhamdulillah, saudara mak saya, yang kenal saya sejak lahir, mesra dengan panggilan bibik(jawa), sudi menjaga saya. Ketika saya dimasukkan dalam wad, dia merupakan ahli keluarga saya yang pertama melawat di hospital.
“Sebab muka dia pun macam muka mak, nampak macam emak saya yang datang, rupanya dia. Ketika saya baru sedar, dia ada di sebelah, terus memeluk saya. Bibik ada katanya, dia minta nombor telefon saya. Dia hubungi saya melalui Whatsapp. Sejak itu, setiap pagi dia akan bagi motivasi kepada saya. Dia mahu saya terus kuat, jangan lemah, katanya.
 
Sehingga hari ini, menurut Usop, ‘bibik’ yang kini menjadi emak beliau, tanpa henti menjadi sumber kekuatan beliau selain daripada kawan-kawan yang tanpa putus memberi dorongan kepada Usop supaya tidak putus asa untuk teruskan hidup.
Menghitung sisa waktu
Rentetan daripada virus yang semakin aktif, dan merebak, doktor mengesahkan terdapat tumbuhan di bahagian Usop yang turut menghadkan usianya untuk terus hidup.
Dalam jangka masa setahun hingga dua tahun yang diramal oleh doktor, Usop bagaimanapun tetap positif dengan ketentuan Yang Maha Pencipta.
Ironinya, antara individu yang menjadikan Usop semakin positif adalah nasihat seorang kawan beliau di Sabah yang juga beragama Kristian.
“Sejak duduk di pusat perlindungan ini, ada seorang kawan beragama kristian yang membuatkan saya sangat tersentuh. Sebelum ni doktor ada bagitahu, ada tumor yang sedang membesar di bahagian otak saya. Saya hanya boleh hidup lagi dua tahun.
“Kawan yang beragama kristian tadi bagi motivasi. Antara yang dia ungkap, kalau saya percaya kepada Tuhan saya, saya kena yakin dengan umur yang diberi oleh tuhan, bukan tarikh yang dijangka oleh doktor.”
Jodoh dan Aidilfitri
Rumah Darul Ukhwah
Aidilfitiri tahun ini merupakan antara detik yang paling sukar bagi Usop. Dari awal, beliau sudah pun menghumban jauh harapan untuk balik ke rumah keluarga seperti lazimnya.
Namun, jauh di sudut hatinya, beliau masih mengharapkan untuk berjumpa seluruh ahli keluarganya, yang juga mungkin menjadi perjumpaan kali terakhir sebelum beliau meninggalkan alam ini.
Dan harapan terakhir bagi anak muda ini, agar mendapat peluang kali kedua, untuk mendirikan rumah tangga seperti pasangan normal yang lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast