Shafie Ngah

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pas, Shafie Ngah menggesa kerajaan supaya memberikan diskaun kepada pengguna lebuhraya jika perjalanan mengambil masa lebih panjang dari yang sepatutnya.

Perkara itu katanya, perlu memandangkan kesesakan sering berlaku di musim perayaan yang mengakibatkan pengguna lebuhraya terkandas begitu lama dalam perjalanan.

Beliau berkata, apabila lebuhraya dibina ia adalah untuk memberi keselesaan kepada pengguna dan mempercepatkan perjalanan mereka.

Sekiranya perjalanan mengambil masa yang lebih panjang maka pemegang konsesi lebuhraya telah gagal menyediakan perkhidmatan seperti tujuan pembinaan lebuhraya itu.

“Kalau kita makan di restoran dan makanan yang dihidangkan itu basi, kita tidak perlu membayar dan tuan kedai tidak boleh memberi alasan seperti pelanggan terlalu ramai.

“Rakyat telah dibebankan dengan kenaikan tol maka mereka tidak seharusnya didera secara berterusan”, kata beliau.

Justeru diskaun automatik 30 peratus atau 50 peratus diberi apabila berlaku kesesakan sama ada pada musim-musim perayaan atau di masa-masa yang lain.

Malah katanya, syarikat konsesi tidak akan menanggung kerugian kerana trafik akan meningkat berlipat kali ganda pada musim-musim tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast