BESUT – Taktik tiga lelaki menyembunyikan dadah di dalam patung ‘Mickey Mouse’ untuk mengaburi mata pihak polis tidak berhasil apabila diberkas di sebuah rumah di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, patung berkenaan ditemui di bawah katil di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Apabila pemeriksaan dilakukan ke atas patung berkenaan, polis menemui empat botol plastik cerah mengandungi heroin seberat 22 gram, 65 biji pil Eramin dan empat biji pil Methamphetamine yang kesemuanya bernilai RM5,023,” katanya kepada media,di sini hari ini.

Mohd Zamri berkata ksemua suspek berusia antara 25 hingga 27 tahun itu ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit.

Dua daripada suspek bekerja sebagai nelayan dan seorang lagi buruh.

Kesemua mereka turut didapati positif dadah ketika ditahan, katanya. – MalaysiaGazette