Gambar hiasan

SHAH ALAMĀ – Mayat seorang lelaki yang hilang ketika menjaring ikan di pantai Morib, Banting, pada petang semalam, ditemui terdampar di pantai kira-kira lapan kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mayat Juani Mohd, 61, dijumpai oleh orang awam pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi di Pantai Morib, berhampiran dengan sebuah resort.

“Mayat dihantar ke Hospital Banting bagi tujuan bedah siasat. Identiti mangsa telah disahkan oleh salah seorang anaknya, Mohd Salleh Juani, 29 berdasarkan pakaian dan kasut yang dipakai oleh mangsa berikutan keadaan mayat mangsa yang terjejas teruk, ” katanya dalam kenyataan di sini.

Juani dilaporkan hilang ketika menjaring ikan bersama anaknya pada kedudukan kira-kira satu batu nautika dari persisir pantai Morib. – MalaysiaGazette