Pekerja asing menunggu giliran untuk mendaftar pada hari terakhir bagi mendapatkan kad sementara E-KAD di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 JUN 2017

PUTRAJAYA – Suasana di pekarangan Ibu Pejabat Imigresen di Presint 3, sesak dan padat apabila dikunjungi ramai majikan dan juga pekerja asing.

Mereka berkumpul sejak dari pukul 6 pagi lagi bagi mendapatkan kad sementara “Enforcement Card” (E-kad) yang urusannya tamat jam 12 tengah malam ini.

Rata-rata pekerja yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika ditemui MalaysiaGazette merungut kepenatan selepas terpaksa menunggu di situ sejak tiga hari lalu gara-gara urusan yang dilengahkan oleh majikan masing-masing.

Aung Ko Latt

Seorang pekerja restoran warga Myanmar, Aung Ko Latt, 30, berkata, dia telah menunggu sejak Rabu lalu untuk urusan mendapatkan E-Kad namun, masih belum selesai sehingga kini.

Katanya, keadaan di pekarangan bangunan Imigresen tersebut sememangnya sesak sejak dari awal pagi meskipun kaunter pendaftaran hanya dibuka pada pukul 8.30 pagi.

“Sejak tiga hari lalu saya telah menunggu di sini dari jam 6 pagi bersama dengan majikan dan sembilan lagi rakan. Keadaannya seperti yang dapat dilihat penuh sesak,” katanya yang telah berada di Malaysia sejak setahun lalu.

Mariam Fadli

Seorang lagi pekerja asing, Mariam Fadli, 31, pula berkata, dia berharap agar urusan pendaftarannya untuk mendapatkan E-Kad dapat diselesaikan hari ini.

Katanya, seluruh anggotanya sudah berasa lenguh-lenguh ekoran hanya duduk dan berbaring di atas lantai tanpa alas.

Dia turut mempersoalkan kenapa urusan bagi mendapatkan E-Kad yang diurus oleh majikannya terlalu sukar sehingga terpaksa datang berkali-kali.

“Saya tidak faham kenapa urusan ini tidak selesai lagi sedangkan majikan saya memberitahu dokumen yang disediakan lengkap,” ujarnya.

Juwita Alirman

Sementara itu, Seorang warga Indonesia yang merupakan pencuci pejabat, Juwita Alirman, 40, berkata, dia datang ke pejabat Imigresen di sini membawa bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun.

ujarnya, anak kecilnya acap kali mengadu sudah keletihan dan asyik mengajaknya pulang namun, urusan tersebut perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Saya tidak faham kenapa majikan saya lambat bertindak untuk mendaftarkan pekerja-pekerjanya hingga tiba saat akhir.

“Saya harap urusan ini dapatlah diselesaikan hari ini dan tidak perlulah untuk datang lagi,” katanya.

Program E-Kad bertujuan memenuhi permintaan majikan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang dibenarkan dan kad berkenaan hanya sah sehingga 15 Februari 2018.

Program yang diperkenalkan pada 15 Februari lalu itu dilaksanakan di Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast