Dr S.Subramaniam

KUALA LUMPUR – Semua pengamal perubatan boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka masih gagal mendaftarkan diri dengan Pendaftar Pakar Kebangsaan (NSR) untuk meneruskan perkhidmatan perubatan mereka, selewat-lewatnya 1 Januari 2019.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, langkah itu dibuat bersesuain dengan Akta Kesihatan (pindaan) 2012 yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2017.
“Kita beri mereka ruang supaya boleh daftar diri sendiri, kita akan beri mereka tempoh hingga enam bulan untuk mendaftarkan diri mereka dengan NSR mulai tahun ini.
“Dari Januari 2019, sesiapa yang tidak berdaftar dan terus berkhidmat sebagai seorang pakar (perubatan), kita boleh ambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya pada sidang media di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Subramaniam juga berkata, sebelum ini pengamal perubatan hanya perlu berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan lebih 9,800 pakar perubatan sudah didaftarkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pindaan itu turut mewajibkan semua doktor perubatan di negara ini mempunyai sijil Perakuan Amalan Tahunan untuk meneruskan perkhidmatan perubatan mereka.
Katanya, walaupun pada masa ini sijil berkenaan diberikan kepada semua pemohon secara otomatik, namun ia diwajibkan mengemukakan permohonan selewat-lewatnya 1 Januari 2019.
“Pada masa ini MMC memaklum 41,101 doktor telah mendapat sijil ini di mana kebanyakan mereka doktor dalam perkhidmatan awam iaitu 27,417 orang, manakala 13,684 orang pula dari sektor swasta,” jelasnya.
Selain itu, doktor perubatan ini juga diwajibkan mempunyai Insurans Indemniti Profesional dan ia perlu dikemukakan kepada NSR ketika memperbaharui sijil Perakuan Amalan Tahunan.
“Mereka perlu ada insurans untuk memberi perlindungan kepada mereka, kalau ada kes-kes tertentu akibat kecuaian profesional dan mereka dibawa ke mahkamah atau tindakan lain.
“Sebelum ini, pemilikan insurans ini dibuat secara sukarela di mana ada yang ambil dan ada juga yang tidak ambil. Tapi sekarang jadi satu kewajipan, tiada seorang pun doktor yang boleh terus meneruskan perkhidmatan mereka tanpa mempunyai insurans ini,” ujarnya.
Tambahnya, selain insurans, doktor perlu mengemukakan bukti mereka telah menjalani Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) ketika ingin memperbaharui sijil Perakuan Amalan Tahunan.
“Setiap tahun semasa nak mohon sijil ini, mereka kena tunjukkan bukti CDP di mana mereka perlu menunjukkan bukti dalam satu tahun ini mereka telah melalui proses untuk memperbaharui pengetahuan dan kemahiran mereka, selari dengan perkembangan semasa.
“Kita beri tempoh satu tahun, untuk memberi ruang supaya doktor-doktor ini boleh menyesuaikan diri dan membuat persiapan yang perlu untuk menunaikan keperluan ini dan mulai 1 Januari 2019 akan menjadi satu kewajipan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast