Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Pendidikan Politeknik dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemilihan tender dilakukan secara telus dan bertanggungjawab oleh Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga.

PULAU PINANG – Tiada unsur pilih kasih atau diskriminasi perkauman dalam pemilihan tender bagi mengusahakan gerai makanan di kantin Politeknik Seberang Perai (SPS) di sini.

Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Pendidikan Politeknik dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemilihan tender dilakukan secara telus dan bertanggungjawab oleh Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga.

Katanya, jawatankuasa tersebut tidak dimaklumkan nama syarikat serta pihak yang mengambil bahagian dan pemilihan hanya berdasarkan nombor kod penender.

“Pengarah Politeknik Seberang Perai bertanggungjawab sepenuhnya dalam semua perkara berkaitan warga PSP seramai hampir 5,000 pelajar dan kakitangan termasuk 865 pelajar India.

“Setiap perkara akan diteliti dengan waspada terhadap anasir yang cuba memporak-perandakan masyarakat melalui isu ini.

“Pihak PSP sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang dalam apa juga perkara tanpa melibatkan pihak ketiga yang mungkin tidak memahami dan mengetahui isu ini serta tidak mendapatkan maklumat sahih terlebih dahulu,” demikian menurut kenyataan itu.

Semalam dalam sidang akhbarnya, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy seperti dilaporkan portal berita didakwa mengaitkan kegagalan seorang kontraktor makanan kaum India mendapatkan tender kantin di PSP dengan `dasar pro-Melayu terang-terangan’ Kerajaan Persekutuan.

Menurut Dr. Ramasamy, di sebalik penafian yang dibuat pelbagai pihak, ramai bukan Melayu masih percaya kontraktor itu merupakan mangsa diskriminasi kaum dan agama.

Isu itu bermula selepas permohonan seorang pengusaha makanan India, G. Gopi Krishnan untuk mendapatkan satu ruang gerai dalam kontrak menyewa dan mengurus kantin di PSP tidak berjaya.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga PSP telah meneliti dan mendapati permohonan pengusaha makanan India, G. Gobi Krishnan daripada GA Multi Trading tidak berjaya kerana tidak memenuhi syarat dan kriteria yang terdapat dalam spesifikasi sebut harga.

Katanya, syarat sebut harga tersebut termasuk kod bidang 040103 Membekal Makanan Bermasak (Islam) dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

Tambahnya, dua pengusaha kantin Melayu yang telah beroperasi di PSP selama hampir 10 tahun juga tidak berjaya kerana tidak memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan manakala seorang lagi pengusaha menarik diri kerana tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette