Liow Tiong Lai
KUALA LUMPUR – Penterjemahan koleksi klasik novel teragung Cina dari serata dunia ke bahasa Melayu sedang dalam peringkat akhir pelaksanaannya sebelum disiapkan September ini.
“Saya difahamkan karya terulung Cina itu telah mendapat sokongan besar daripada penulis atau cendekiawan dan sasterawan Melayu tempatan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
“Ia secara tidak langsung membolehkan pertukaran pendapat, idea yang leboih mendalam dari segi akademik dan kesusasteraan secara mendalam.
“Malah, koleksi buku klasik ini juga akan mengeratkan lagi budaya Melayu dan Cina menerusi kerjasama akademik sedemikian,” katanya ketika ditemui pemberita di Universiti Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan galeri Dream of the Red Chamber yang mengumpulkan lebih 6,000 koleksi novel klasik Cina dari lapan buah negara serata dunia di Perpustakaan UM.
Kesemua buku itu adalah hasil koleksi selama 40 tahun oleh alumi universiti tertua negara iaitu bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy sebelum disumbangkan kepada UM sebagai tempat paling selamat untuk memelihara karya tersebut.
Dalam perkembangan sama, Tiong Lai yang juga Presiden MCA memuji kesanggupan Kong Choi yang rela memberikan peluang koleksi itu ditempatkan di Perpustakaan UM.
Beliau menyifatkan bahawa Malaysia khususnya UM menerima penghargaan memiliki koleksi terbesar dunia novel klasik Dreams of the Red Chamber’.
Beliau juga menyatakan harapan bahawa kesemua koleksi akan menjadi tumpuan dan rujukan mahasiswa, para penyelidik dan ahli akademik serata dunia.
“Ia secara tidak langsung akan membantu kita melahirkan lebih banyak penulis ilmiah, pakar akademik dan penyelidik bahawa yang lebih matang,” tegasnya.
Sementara itu, Kong Choy ketika ditemui pemberita menyatakan kegembiraan kerana hasrat beliau tercapai apabila berjaya menemui kediaman baharu dan kekal untuk koleksinya yang dikumpul sejak 40 tahun lalu.
Beliau juga memberitahu novel-novel klasik berkenaan juga telah diterjemah dalam 17 jenis bahasa lain.
“Saya juga teruja  dan berasa seperti seorang ayah yang mengahwinkan anak perempuan dengan memilih UM sebagai ‘menantu’ terbaik melindungi aset-aset bersejarah itu.
“Kini ia akan membuka peluang untuk lebih ramai pelajar dan pakar penyelidik dari dalam dan luar negara dapat melawat dan mengkaji koleksi-koleksi di sini untuk akademik mereka sekaligus memartabatkan nama UM.
“Saya gembira kerana impian mengenai masa depan koleksi novel ini menjadi realiti dengan kerjasama dalam bentuk kewangan oleh Persatuan Siswazah Jabatan Pengajian Tionghoa (Pejati) UM dan usahawan gergasi yang menghulurkan derma untuk meenjayakannya,” tegas beliau lagi. – MalaysiaGazette