Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit berkemungkinan meneruskan aliran peningkatannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan dipacu oleh sentimen keyakinan terhadap perkembangan landskap makroekonomi Malaysia.

Penganalisis Penyelidikan di firma FXTM, Lukman Otunuga berkata, sejajar dengan penyusutan dolar Amerika yang mencecah paras terendahnya setakat tahun ini ketika komen-komen keras yang dilontarkan oleh bank-bank pusat di luar AS yang menjejaskan dolar, sebaliknya hanya mendorong peningkatan ringgit.

“Faktor yang berkemungkinan berperanan penting dalam menentukan pergerakan ringgit pada minggu depan adalah reaksi pasaran terhadap minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Persekutuan AS dan laporan data penggajian bukan ladang yang boleh memberi kesan.

“Biar pun aktiviti pengambilan untung akan menyusuli peningkatan ringgit, namun kenaikan harga minyak mungkin terus menyokong unit tempatan itu dan mengekangnya daripada susut,” katanya.

Sementara itu, Peniaga Kanan di OANDA, Stephen Innes, berkata unjuran dolar AS yang lebih lemah sebaliknya akan menjadi pemangkin terhadap kekukuhan ringgit pada minggu depan.

Pasaran tukaran asing Malaysia ditutup pada 26-27 Jun bersempena cuti Aidilfitri. Bagi minggu singkat yang baru berakhir ini, ringgit bergerak dalam lingkungan antara 4.2840 dan 4.2920 berbanding dolar AS, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh prestasi harga minyak mentah, tekanan jualan dolar AS dan peningkatan persekitaran makroekonomi di negara ini.

Bagi perbandingan asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan lebih rendah pada paras 4.2920/2950 berbanding dolar AS daripada 4.2865/2895 pada Jumaat minggu lepas.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama kecuali yen Jepun. Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1181/1220 daripada 3.0912/0944 minggu lepas, merosot berbanding pound Britain kepada 5.5757/5801 daripada 5.4537/4584 serta lemah berbanding euro kepada 4.8963/8015 daripada 4.7880/7918 pada Jumaat minggu lepas.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding yen kepada 3.8328/8365 daripada paras 3.8541/8578 sebelum ini. – MalaysiaGazette