Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Tiga orang kanak-kanak termasuk dua beradik di Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian, Sarawak dijangkiti virus rabis atau anjing gila.

Mangsa pertama seorang kanak-kanak lelaki berumur 4 tahun yang mengalami demam sejak 5 Jun 2017 dan telah mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Balai Ringin, Serian pada hari yang sama.

Bagaimanapun, keadaan beliau semakin tenat dan mengalami kesukaran bernafas dengan perubahan tingkah laku, bersifat agresif dan hidrofobia (takut kepada air atau takut minum air).

Mangsa kemudian dimasukkan ke Hospital Serian dan keadannya masih tenat dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira dua atau tiga bulan lalu.

Kakak mangsa yang berumur enam tahun pula mengalami demam pada 12 Jun lalu, turut mengalami perubahan tingkah laku serta agresif. Beliau juga tenat dan sedang dirawat di ICU.

Sementara kes tiga melibatkan kanak-kanak perempuan, 7 tahun dari Kampung Lebur, Gedong yang mengalami demam pada 23 Jun, 2017.

Tahap kesihatannya semakin merosot dengan perubahan tingkahlaku dan bersikap agresif serta hidrofobia.

“Mangsa mengalami sawan dan kini tenat serta dirawat di ICU. Beliau juga mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira sebulan lalu,” katanya.

Penyakit rabies adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus dari haiwan seperti anjing yang dijangkiti rabies. Rabies berjangkit melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit dari air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan tersebut kepada manusia.

Masa inkubasi rabies adalah 3 minggu hingga 2 bulan selepas gigitan haiwan rabid hingga timbul gejala. Individu yang dijangkiti rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia, lumpuh dan koma.

Rabies adalah penyakit yang menyebabkan kematian 100% jika tanda-tanda penyakit telah timbul.

Kementerian Kesihatan menasihati orang awam yang tinggal di daerah Serian agar mengambil langkah-langkah pencegahan.

Pihak kementerian juga telah mengingatkan daerah-daerah lain yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia supaya meningkatkan pemantauan kes gigitan anjing di daerah masing-masing. – MalaysiaGazette