Mohamed Azmin Ali

AMPANG – Penganjuran Rumah Terbuka Selangor yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini merupakan tahun kedua berturut-turut diadakan oleh Menteri Besar Selangor.

Bacaan penganalisis politik melihat ia ada kaitan dengan khabar angin Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melihat kemungkinan akan bertanding di kawasan Ampang sama ada DUN atau Parlimen dalam PRU-14 kelak.

Bagaimanapun beliau menafikannya dan kepada Malaysia Gazette beliau menyatakan lebih baik beliau bertanding di kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan sekiranya bukan kekal di Gombak kawasan parlimennya sekarang.

“Selangor, Alhamdulillah. Jadi kita berhijrah ke tempat lainlah, Pekan mungkin,” katanya berseloroh ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Negeri Selangor hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin yang mendakwa beliau memilih menjadi menjadi calon di kawasan Parlimen Ampang pada pilihan raya umum akan datang.

Desas-desus menyatakan dakwaan bahawa Mohamed Azmin akan meninggalkan kawasannya di Gombak ekoran kemelut yang berlaku antara Pas dan PKR di Selangor berhubung keputusan memutuskan hubungan kerjasama antara kedua-dua parti baru-baru ini.

Perkara itu dikatakan menjadi punca kepada keputusan
Mohamed Azmin berhasrat ‘meninggalkan’ Parlimen Gombak kerana kemenangannya pada PRU-13 lalu banyak didorong oleh undi daripada penyokong Pas.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak perlu meninggalkan Gombak hanya semata-mata memilih Ampang untuk lompat kawasan kerana beliau sendiri sudah sebati dengan masyarakat di Gombak.

“Buat apa saya nak bertanding di Ampang. Saya dah ada kawasan, saya asal dari Gombak, saya dibesarkan di Gombak, keluarga saya juga di Gombak.

“Jadi, Gombak dah sebati dengan saya. Kalau tak Gombak mungkin Pekanlah, bukan Ampang. Kalau saya berhajat untuk pindah pun mungkin di Pekan. Kalau saya berhajatlah, tapi bukan di Ampang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.