Nik Mohamad Abduh

KOTA BHARU – Sikap DAP yang sering berlagak sebagai ‘ábang besar’ menyebabkan Pakatan Harapan yang didalangi oleh parti cauvanis itu tidak layak untuk menggantikan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perkara itu hanya dapat dilakukan sekiranya DAP menukar sikap mereka dan menghormati rakan-rakan dalam pembangkang.

Katanya, DAP juga sering bersaing dengan rakan-rakan mereka dan ia terbukti apabila DAP tanpa menghiraukan sekutunya untuk menamakan Datuk Husam Musa sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya mereka menang dalam PRU-14.

“Itulah sikap sebenar DAP yang telah difahami oleh Pas sejak sekian lama. Sebab itu kita berpisah dengan mereka kerana kita tahu DAP ini apabila merasakan dia kuat, dia akan menguasai. Kalau DAP saling menghormati parti-parti lain, dia tidak akan mudah untuk menentukan mana-mana parti yang layak menjadi Menteri Besar.

“Jadi, apa yang Pas kata sebelum ini telah terbukti berlaku dalam Pakatan Harapan. Sekarang Pakatan Harapan dilihat sering bersaing untuk berada di depan, bagi saya, kalau mereka terus dengan sikap ini, masih tidak sesuai untuk mereka menggantikan BN,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini hari ini.

Kelmarin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah berceramah di Dewan Perniagaan Cina di sini menamakan Husam yang juga bekas Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menyifatkan Husam sebagai contoh bagi rakyat negeri ini dan Malaysia selepas ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kit Siang juga menggunakan kesempatan ceramah itu dengan menggesa rakyat menukar Kerajaan Pas Kelantan bagi menyelamatkan negeri ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast