Datuk Iskandar Abdul Samad
Datuk Iskandar Abdul Samad foto FAREEZ FADZIL, 01 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Kegagalan pembangkang dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu masyarakat kini mengurangkan menyakinkan rakyat terhadap pembangkang.

Ia diakui Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar A. Samad dan mendakwa atas faktor itulah pembangkang gagal untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kini.

“Kegagalan Kerajaan BN belum cukup untuk mengalahkannya pada pilihan raya umum yang datang jika pembangkang gagal meyakinkan rakyat penyelesaian kepada masalah-masalah yang membelenggu masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenaikan kos sara hidup dan pelaksanaan GST oleh BN didakwanya menekan ekonomi rakyat namun masyarakat tidak melihat alternatif lain yang mampu menyelesaikan kemelut terbabit sekaligus diterjemahkan kepada undi kepada pembangkang.

“Rakyat hari ini semakin bijak dan pembangkang tidak boleh sekadar memainkan isu-isu sahaja tetapi rakyat mahu melihat dengan terang dan jelas bagaimana negara ini akan ditadbir jika pembangkang diberi kuasa,” katanya lagi.

Menurut Iskandar, Pas kini mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dimana menuntut agar parti itu berubah dan meninggalkan budaya politik lama.

Ia menyaksikan Pas tidak menyertai Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi BN dalam PRU-14 akan datang.

Oleh itu, pembangkang katanya mesti menzahirkan polisi-polisi untuk semua perkara yang akan memberi kesan kepada hidup rakyat.

“Tidak ada satu yang boleh ditinggalkan jika mahu mendapat sokongan rakyat. Oleh itu amat penting bagi pemimpin-pemimpin politik untuk turun ke bawah dan bertemu rakyat di akar umbi. Dapatkan maklumat yang tepat.

“Apa yang penting kepada pemimpin politik tidak semestinya penting kepada rakyat.

Kejayaan pentadbiran di negeri-negeri Selangor dan Kelantan juga mesti diberi publisiti yang meluas untuk meyakinkan rakyat akan kemampuan pembangkang,” kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu.

Justeru katanya, pembangkang tidak boleh terlalu yakin dan selesa pada PRU-14 akan datang walaupun BN berdepan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mendapat perhatian dunia. -MalaysiaGazette.