Husam Musa

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa menerima cadangan Lim Kit Siang menamakannya sebagai calon menteri besar (MB) Kelantan sekiranya Pakatan Harapan menang pilihan raya umum kelak.

Beliau sedia menggalas tanggungjawab dicalon sebagai menteri besar dengan syarat parti dalam gabungan pembangkang bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Buat sementara ini saya terima saya dinamakan sementara ada orang lain yang lebih berkelayakan supaya rakyat Kelantan lebih nampak siapa yang nak pimpin mereka, apa latar belakang mereka.

“Kalau parti-parti dalam Pakatan Harapan tak boleh terima, kira tak jadilah. Kalau parti dalam Pakatan Harapan terima, bolehlah saya terima bagi tujuan strategik perjuangan kita khususnya di Kelantan,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat PAN Kuala Lumpur hari ini.

Beliau kemudian mempersoalkan tindakan Pas yang melenting apabila Penasihat DAP melontarkan cadangan tersebut walhal mereka tidak berada dalam Pakatan.
.
“Kalau ada orang lain yang lebih layak saya akan beri pada orang itu jadi sementara itu cadangan itu telah dikritik hebat oleh Pas. Jadi saya rasa teruja iaitu Pas macam yakin yang mereka akan hilang kerajaan. Jadi kalau dia tak hilang kerajaan kenapa dia nak bahas menteri besar orang lain,” katanya.

Terdahulu, Kit Siang mencalonkan Husam sebagai calon paling layak untuk menjadi MB Kelantan dalam satu program di negeri berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu dikritik Pas antaranya naib presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyifatkan pengumuman Kit Siang itu memperlihatkan betapa berkuasa DAP dan pemimpinnya di dalam pakatan pembangkang.

Selain Mohd Amar, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut menyatakan DAP cuba mendahului rakan pakatannya dengan menamakan Husam sebagai menteri besar negeri. – MalaysiaGazette