PUTRAJAYA – Peneroka Felda tidak terjejas malah bersikap positif ekoran kemelut yang melanda Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) baru-baru ini.
Menurut pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, melalui pemerhatian dan maklum balas yang diterima, peneroka Felda yang juga sebahagian daripada pelabur dan pemegang saham FGV tetap positif dengan perkara itu.
Malah pelantikan Dr. Sulaiman Mahbob sebagai Pengerusi FGV yang baharu, pengurusan FGV yang kekal dalam prestasi terbaik mampu membawa organisasi itu kepada keuntungan dan prestasi yang lebih baik.
“Apa yang saya perhatikan, ramai peneroka mahu proses yang berlaku membantu kepada FGV yang lebih baik. Pertamanya, kita mahu melihat perubahan pada jawatan pengerusi FGV itu sendiri.
“Pandangan peneroka sendiri, ramai daripada mereka mahu melihat kesudahannya kepada kemelut ini akhirnya FGV itu menjadi syarikat yang berjaya diurus tadbir dengan baik kepada mencapai keuntungan dan pencapaian dari segi restasinya yang sebaik mungkin.
“Kesimpulannya, semua mahukan yang positif, agar FGV menjadi lebih terbaik. Tidak akan terjejas bagi pihak peneroka kerana mereka sebagai pelabur dan pemegang saham, tentunya selagi ianya membawa keadaan yang lebih baik kepada FGV daripada segi pengurusannya yang baru, daripada segi lembaga pengarah, akan membawa kesudahan hasil siasatan yang baik, saya ingat, pelaburan peneroka itu selamat dan terjamin.
“Kita (Felda) sebagai badan induk kepada FGV, kita mahu tengok anak (FGV) kita ini melalui proses yang baik seterusnya membawa prestasi yang baik. Daripada segi pengurusan baru, FGV ini akan terus menjadi baik.
“Jadi, lembaga pengarah dan pengurusannya mampu menjalankan tanggungjawab yang bagus dan betul.”
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Sulaiman sebagai pemangku Pengerusi FGV bagi menggantikan Tan Sri Isa Samad berikutan kemelut yang melanda anak syarikat Felda itu.
Sejurus perletakan jawatannya dari FGV, Isa dilantik menjadi pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). – MalaysiaGazette