SHAH ALAM – Pelakon Anis Al-Idrus selamat bergelar isteri kepada Mohd. Rafzan Nurhikmal Abdul Halim yang merupakan seorang duda anak satu dalam satu majlis pernikahan di sini malam ini.
Mohd. Rafzan sah menjadi suami kepada Anis atau nama sebenarnya, Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus dengan dua kali lafaz pukul 9 malam di De’ Laman Event Space and Wedding, Bukit Jelutong.
Majlis akad nikah itu disempurnakan oleh bapa Anis, Syed Zainal Syed Abu Bakar Al-Idrus di hadapan imam dan jurnikah Masjid Al-I’tisam TTDI Jaya, Ustaz Mohd. Faris Shuaib dengan disaksikan oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua mempelai.
Mohd. Rafzan yang juga ahli perniagaan menyerahkan mas kahwin set barangan kemas kepada Anis selain kedua-dua mempelai berbalas lima dan tiga dulang hantaran sambil jumlah hantaran dirahsiakan.
Majlis serba ringkas itu hanya mengundang ahli keluarga terdekat serta rakan rapat dan pasangan sekitar 350 tetamu.
Dalam pada itu, Anis, 29, menyifatkan Mohd.Rafzan memiliki sikap matang dan yakin dengan keperibadian lelaki berusia 35 tahun itu.
Katanya, keikhlasan suaminya untuk berkenalan dengan lebih rapat membuatkan hatinya terbuka untuk menerimanya.
“Beliau seorang yang pemalu dan pendiam. Memang sangat berbeza dengan diri saya. Bila dia bercakap, kita sudah tahu dia ini seorang yang matang dan tidak suka buang masa borak perkara yang tidak berfaedah. Apatah lagi dia pun memiliki perniagaan sendiri,” kata Anis.
Selain itu juga, Anis turut melihat Mohd. Rafzan melengkapi ciri-ciri lelaki idamannya iaitu seorang yang bertanggungjawab, berbudi bahasa serta sentiasa menghormati sesiapa saja.
Pelakon Duda Terlajak Laris itu itu mengikat tali pertunangan pada 24 Mac lalu.
Anis mengenali suaminya itu pada Januari lalu menerusi bakal adik ipar yang juga rakan baiknya.
Sebelum bergelar pelakon, Anis terlebih dahulu dikenali sebagai peragawati yang telah banyak memperagakan pelbagai produk jenama terkenal tanah air dan antarabangsa.
Sebelum ini Anis pernah bercinta dengan pelakon Sharnaaz Ahmad dan Raja Afiq.
– MalaysiaGazette