KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) membantah tindakan Standard Chartered Bank (StandChart) melakukan saringan semula ke atas pekerja-pekerjanya untuk mendapatkan butiran peribadi mereka.

Bagi NUBE ia satu tindakan tidak masuk akal manakala tujuan atau motif sebenar tindakan itu tidak siapa yang tahu kecuali pihak bank sendiri.

NUBE pernah membantah tindakan seumpama itu tahun lalu dan pihak StandChart didapati telah mengubah suai dan minda beberapa soalan.

Pihak bank meneruskan saringan semula pekerja mereka dengan set soalan yang baharu.

NUBE berkata, pihaknya telah meneliti set soalan berkaitan dan mendapati tindakan bertanya soalan-soalan yang sensitif adalah satu tindakan yang tidak wajar.

Oleh itu, NUBE meminta ahli-ahli NUBE berkata “TIDAK” kepada langkah StandChart menjalankan saringan semula ini yang menceroboh privasi ahli-ahli NUBE.

Jelasnya, NUBE membantah proses saringan semula ini kerana:

i. Setiap pekerja telah pun disaring oleh pihak bank semasa mereka diambil kerja. Justeru, tidak ada sebab untuk saringan semula ke atas mereka. Oleh itu, tidak wujud keperluan untuk ahli-ahli menandatangani Surat Pensijilan Kendiri Pekerja.

ii. Terdapat soalan yang bertanya mengenai kecenderungan politik pekerja dan anggota keluarga terdekat mereka. NUBE mendapati soalan di bahagian kecil yang bertajuk “Deklarasi: Mereka Yang Terdedah Kepada Politik” terlalu umum dan skopnya luas. Soalan ini bertanya sama ada mana-mana anggota keluarga terdekat seperti suami atau isteri, rakan, anak, suami atau isteri anak atau ibu bapa mereka ada memegang sebarang jawatan dalam politik dan kerajaan.

iii. Dalam pada itu, soalan di subseksyen “Deklarasi: Hubungan Pelanggan” bertanya sama ada pekerja mempunyai sebarang anggota keluarga terdekat, yang ada hubungan perniagaan dengan Kumpulan StandChart atau jika diambil kerja oleh mana-mana penggubal undang-undang.

iv. Soalan-soalan dalam borang deklarasi bersifat jahat. Sebagai contoh, pengurusan menekankan bahawa pekerja-pekerja yang menyediakan respons yang tidak tepat boleh tertakluk kepada penyangkalan diri, malah tindakan sivil dan jenayah.

NUBE berpendirian langkah bank itu bertanya soalan-soalan seperti kecenderungan politik adalah keterlaluan dan menyentuh privasi ahli-ahli keluarga dan hubungan pelanggan mereka.

Jelasnya, ia adalah tindakan tidak beretika dan tidak wajar bagi bank berkenaan mendesak ahli-ahli NUBE memberikan butiran sedemikian dan menandatangani borang deklarasi dimaksudkan.

NUBE juga bimbang data peribadi ahli-ahli NUBE akan terdedah kepada pihak luar.

“NUBE juga sangsi langkah StandChart ini mendapat kebenaran pihak berkuasa negara seperti Bank Negara Malaysia. Jika pihak berkuasa khususnya Bank Negara Malaysia membenarkan langkah StandChart, apakah jaminan perlindungan yang setiap pekerja ada di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi?

“Nampaknya bank ini bertindak menceroboh privasi ahli-ahli NUBE. Bagi tujuan kemas kini borang maklumat peribadi terkini, kami tidak mempunyai bantahan.

“Kami berpendirian deklarasi ini melanggar undang-undang perlindungan data peribadi kerana persetujuan yang diberikan adalah sangat luas di mana bakal melantik penyedia perkhidmatan yang tidak diketahui, pegawai tempatan dan luar negara serta gabungan organisasi perniagaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Malah, kami telah meneliti Garis Panduan Bank Negara Malaysia dan tidak menemui sebarang keperluan untuk saringan semula dan deklarasi dicadang yang hendak dilaksanakan oleh StandChart sebagai arahan daripada Bank Pusat.

Selain meminta ahli-ahli NUBE tidak menerima kaedah deklarasi StandChart, NUBE berharap Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan akan melindungi kepentingan para pekerja. – MalaysiaGazette