Ahmad Shukri Ismail

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) membantah cadangan Pengarah Penguatkuasaan Farmasi untuk menaikkan yuran permit membeli dan menggunakan bahan psikotropik, buprenorphine dan methadone daripada RM100 kepada RM1,000.

Ubat-ubatan itu digunakan untuk merawat penagih dadah.

Kenaikan yang tinggi itu seolah-oleh Bahagian Farmasi lebih mementingkan keuntungan kewangan daripada memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Presiden Perdim, Datuk Dr. Ahmad Shukri berkata, penggunaan indikator Beban Kerja dan Keperluan Kakitangan untuk mengira kos dalam mengeluarkan lesen itu adalah tidak munasabah.

Kos ini sepatutnya ditanggung oleh kerajaan dan bukan klinik swasta.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan yuran tersebut dikekalkan.

“Bahagian Farmasi bukan agensi syarikat milik kerajaan yang ditugaskan mencari dana untuk kerajaan.

“Sepatutnya Bahagian Farmasi fokus kepada perkhidmatan kesihatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Dr. Ahmad Shukri, lagipun klinik swasta yang terlibat dengan program methadone itu semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

Sudah tentu kenaikan yuran itu menyebabkan klinik swasta terpaksa meningkatkan harga jualan methadone dan suboxone.

Ini akan memberi kesan kepada 44,361 pesakit berdaftar.

Sedangkan penglibatan klinik-klinik swasta dalam program gantian methadone dan subuxone ini positif.

Statistik menunjukkan kadar penurunan jumlah pesakit HIV yang disebabkan berkongsi jarum suntik yang dirawat di hospital-hospital kerajaan. – MalaysiaGazette