KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka pulih secara beransur-ansur berikutan mata wang tempatan itu menyusut melebihi nilai asasnya, kata RHB Research Institute.

Ini berikutan aliran masuk dana secara berterusan ke negara ini yang mendorong rizab tukaran asing meningkat sebanyak AS$900 juta kepada AS$98 bilion hingga 30 Jun 2017.

Namun katanya dari segi ringgit, rizab tukaran asing negara merosot RM8.5 bilion kepada RM424.8 bilion dalam tempoh yang sama, selepas diselaraskan berdasarkan kerugian kadar tukaran.

“Ringgit mengukuh sedikit pada awal Julai, apabila bank pusat utama dunia mahu meningkatkan kedudukan dasar monetari yang lebih ketat, manakala Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah pada 15 Jun,” kata firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.

Rizab tukaran asing kekal mencukupi berdasarkan standard antarabangsa dan pada paras semasa, rizab tukaran wang asing Malaysia mencukupi untuk membiayai 7.9 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

“Jumlah lebihan kecairan – termasuk perjanjian belian semula (REPO) – yang diserap oleh Bank Negara Malaysia (BNM), susut pada Jun.

“Ini berpunca daripada penurunan dalam jumlah pinjaman antara bank pusat, repo dan penerbitan bil BNM, ” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast