Irwan Seregar Abdullah

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) berjaya mengutip lebih RM56 bilion cukai setakat bulan ini, mengatasi jumlah yang pernah dikutip dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, percapaian tersebut memberi keyakinan LHDN mampu mencapai sasaran kutipan cukai sebanyak RM127.7 bilion yang ditetapkan kerajaan tahun ini.

“Pencapaian ini sekaligus membuktikan bahawa dakwaan yang mengatakan pendapatan negara berkurangan adalah tidak berasas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka LHDN di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah berkata, dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan, agensi itu yakin memenuhi sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Selain itu, agensi berkenaan juga sedang meningkatkan pengauditan cukai dan menyiasat aktiviti warga asing yang melakukan perniagaan di negara ini namun gagal melaporkan pendapatan mereka ke LHDN.

“Kami mendapati mereka mempunyai banyak perniagaan terutamanya di Lembah Kelang di dalam bidang makanan, runcit dan pelancongan,” katanya.

Menyentuh mengenai Ops Kutip, Sabin berkata, LHDN berjaya mengutip 25 peratus daripada RM225 juta tunggakan cukai dan yakin mampu mengutip sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang akhir tahun.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast