Chong Sin Woon

SEREMBAN – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang memasuki fasa kedua tahun ini memberi fokus kepada penstrukturan semula Kementerian Pendidikan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata penstrukturan semula itu akan memberi lebih banyak sumber, jawatan dan kuasa kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Langkah ini dibuat kerana banyak perkara yang sepatutnya dilakukan di peringkat daerah dan negeri sekarang diputuskan di peringkat kementerian. Jadi, kita rasa lebih berkesan kalau perkara itu dilaksanakan di peringkat daerah dan negeri kerana mereka lebih memahami keadaan sebenar.

“Pihak kementerian selalunya perlu merujuk kepada pandangan atau laporan daripada jabatan, oleh itu biar jabatan atau PPD yang buat keputusan,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dan Pengarah Pendidikan Negeri Rusni Ab. Jalil.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara kuasa yang diturunkan di peringkat jabatan ialah membabitkan pertukaran guru.

“Jika sebelum ini pertukaran guru melalui banyak sangat prosedur tapi apabila diturunkan kuasa di peringkat negeri, kita lebih memahami keadaan itu,” katanya.

Chong berkata penstrukturan semula itu turut membabitkan pewujudan jawatan baharu di peringkat JPN dan PPD demi kelancaran pentadbiran.

“Kita juga akan struktur semula bahagian dan unit yang baharu. Itu akan kita perincikan di peringkat kementerian dan setelah mendapat kelulusan Menteri Pendidikan, maka kita akan laksanakan pada tahun ini,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast