Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang mengetuai sidang panel tiga hakim, hari ini dengan sebulat suara memutuskan bahawa amaun RM300,000 yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau PInang untuk Lim adalah berlebihan.
Mohd Zawawi, yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Asmabi Mohamad, bagaimanapun, mengekalkan dapatan hakim bicara berhubung liabiliti.
“Kami membincangkan kes ini dengan teliti dan mencapai keputusan sebulat suara dengan membenarkan sebahagian rayuan. Kami tidak memutuskan perintah kos…pihak masing-masing menanggung kos sendiri,” katanya.
Panel tersebut membuat keputusan selepas mendengar hujahan rayuan oleh NSTP terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 Jan lalu yang mengarahkan akhbar itu membayar ganti rugi RM300,000 kepada Lim berikutan penyiaran artikel berunsur fitnah dalam akhbar Berita Harian pada 20 Ogos, 2015.
Artikel itu berhubung penghakiman persetujuan yang dicapai di Mahkamah Tinggi berhubung saman fitnah yang difailkan oleh Lim terhadap Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.
Pada 19 Ogos, 2015, Shaik Hussein, yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, memohon maaf kepada Lim ekoran memfitnah Setiausaha Agung DAP itu melakukan rasuah dalam penjualan tanah Taman Manggis.
Kes tersebut diselesaikan secara penghakiman persetujuan di mahkamah di hadapan Hakim, Nordin Hassan dengan syarat Shaik Hussein menarik balik tuduhan berkenaan dan permohonan maaf dibuat dalam Berita Harian, akhbar yang menyiarkan fitnah berkenaan.
Bagaimanapun, akhbar di bawah kelolaan syarikat NSTP itu, melaporkan artikel dengan tajuk ?Guan Eng tarik balik saman Shaik Hussein? secara tidak tepat dan tidak menepati apa yang dituntutnya dalam penghakiman persetujuan tersebut. Lim diwakili Simon Murali sementara Leong Wai Hong mewakili NSTP.
— BERNAMA