Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dibidas Ahli Jawatankuasa Pusat Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki supaya tidak celupar dan berterusan mempersoalkan keputusan parti Islam tersebut.

Mohd Zuhdi juga mencabar bekas naib presiden parti itu untuk berdebat memandangkan beliau masih tidak memahami keputusan dibuat oleh parti tersebut walaupun sudah berkali-kali diberikan penjelasan berhubung isu dibangkitkan.

“Dan Mahfuz sewajarnya tidak lagi celupar jika semua dakwaan beliau sudah terjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahfuz semalam sekali lagi mempersoalkan tindakan Pas untuk kekal berada dalam kerajaan negeri Selangor walaupun sudah memutuskan hubungan dengan dua parti komponen Pakatan Rakyat, DAP dan PKR.

Zuhdi yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP) itu berkata, langkah mengajak Mahfuz berdebat bertujuan memberi ruang kepadanya membuktikan keputusan pucuk pimpinan Pas tergelincir daripada matlamat sebenar.

“Disebabkan isu-isu berkaitan hala tuju dan pendirian parti banyak berkaitan dengan hal ehwal dalaman Pas, debat yang dianjurkan hanya terbuka kepada pimpinan dan ahli parti. PPP sendiri bersedia menjadi penganjurnya.

“Selain PPP, saya juga mengalu-alukan jika ada agensi lain parti khususnya yang berada di bawah Badan Perhubungan Pas Kedah menganjurkan debat tersebut,” katanya.

Zuhdi juga mempertikaikan tindakan Mahfuz menyerang parti tetapi diselindungkan dengan ungkapan “masih sayang kepada Pas”.

“Dengan serangan-serangan tersebut, beliau sebagai ahli parlimen Pas diyakini tidak lagi akan membawa mesej parti.

“PPP juga mendapat maklumat beliau tidak lagi menghadiri program-program penerangan dan penjelasan tentang hala tuju serta pendirian parti, sebaliknya terus menerus mengeluarkan kenyataan mengelirukan,” katanya.

Isu yang dibangkitkan Mahfuz, kata Zuhdi, sebenarnya sudah dijawab dalam program-program anjuran Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast