JOHOR BAHRU – Sindiket memproses dadah dipercayai jenis syabu berjaya dilumpuhkan polis dengan tertangkapnya 12 individu, termasuk lima wanita, dengan nilai rampasan RM6.2 juta dalam lima serbuan berasingan di bandar raya ini 10 Julai lalu.
Mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 58 tahun terdiri daripada warga tempatan dan rakyat asing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam serbuan 6.15 petang itu, pelbagai jenis dadah, bahan kimia, peralatan memproses dadah, empat pucuk pistol beserta 140 butir peluru dan sebutir bom tangan dirampas.
“Polis turut merampas pelbagai jenis mata wang asing, tujuh utas jam tangan, pelbagai barang kemas dan tujuh buah kenderaan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM620,000,” katanya kepada dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati, pihaknya percaya dadah itu dihasilkan untuk pasaran Singapura dan Indonesia manakala bahan kimia pula disyaki dibawa dari China dan cara memproses ramuan dadah dipelajari menerusi internet. – MalaysiaGazette