Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

MARAN – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melalui laluan sukar untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun menerusi pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata, perkara itu jelas kerana Najib mengetuai Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 132 kerusi Parlimen berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Dr Mahathir hanya mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat.

“Kalau nak tumbangkan Najib kena melalui PRU? Najib ada 132 kerusi dan kalau nak tumbangkan semua, itu bukan perkara mudah. Dr Mahathir (PPBM) hanya ada satu… jadi sukar untuk itu berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Maran di sini, hari ini.

Turut hadir barisan kepimpinan UMNO Bahagian Maran iaitu Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Shahaniza Shamsuddin (Timbalan Ketua), Datuk Rosni Zahari (Ketua Wanita), Saiful Anuar Mokhtar (Ketua Pemuda) dan Nurhidayah Shahaimi (Ketua Puteri).

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian semasa diminta mengulas pengakuan Dr Mahathir yang merupakan pengerusi PPBM semalam bahawa beliau telah merancang untuk menjatuhkan Najib sejak tahun 2014 lagi.

Tempoh masa yang lama untuk merealisasikan hasrat itu juga disifatkan Shahidan sebagai bukti bahawa rancangan itu sukar untuk dilaksanakan kerana Najib mempunyai sokonangan yang kuat bukan hanya daripada UMNO tetapi juga semua parti komponen BN.

Mengulas mengenai pelantikan tiga nakhoda dalam struktur kepimpinan Pakatan Harapan, Shahidan berkata, pakatan hanya bermain sandiwara mengaburi mata rakyat apabila tiada wakil DAP dalam ‘senarai atasan’nya.

“Dalam politik, yang mendapat majoriti adalah ketua seperti UMNO dalam BN kerana kita ada lebih 80 kerusi Parlimen. Dalam puak depa (pembangkang) DAP ada 38 (kerusi), PKR 28 dan PPBM hanya satu manakala PAN (Parti Amanah Rakyat) ada enam.

“Jadi tak akan PPBM (Dr Mahathir) yang menjadi ketua? Itu adalah cara untuk (pembangkang) mengaburi. Kalau DAP tidak menjadi ketua, mereka adalah bersandiwara… mana mungkin parti yang lebih kecil (bilangan kerusi) menjadi ketua,” katanya.

Sehubungan itu, Shahidan berkata, Pakatan Harapan tidak seharusnya berbohong kepada rakyat dalam merencanakan perjalanan politik mereka kerana rakyat pada masa kini sudah semakin cerdik dalam membuat keputusan.

Kelmarin Pakatan Harapan mengumumkan pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi yang akan bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua umum manakala isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Jawatan paling tinggi yang disandang oleh wakil DAP ialah sebagai timbalan presiden menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Dua lagi timbalan presiden ialah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga anggota Parlimen Pagoh dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Sementara itu, Rosni dalam ucapannya menegaskan semua 86 cawangan Wanita UMNO Maran akan terus menyokong kepimpinan Najib dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pentadbiran negara dan parti.

“Kami juga mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk kuasa asing yang cuba campur tangan dalam politik negara dan jika ada bekas pemimpin cuba menjahanamkan parti Melayu dan Islam ini (UMNO) menggunakan parti antiMelayu,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast