Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2017 di Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 09 JANUARI 2017

AMPANG – Barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan Jumaat lalu hanya sebuah lakonan yang sedang dimainkan oleh pihak pembangkang.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meskipun barisan kepimpinan yang diumumkan terdiri daripada pemimpin kaum Melayu namun akhirnya majoriti yang bertanding padaPRU akan datang adalah DAP.

Justeru, sekiranya pembangkang memenangi PRU ke-14, DAP bakal menjadi penentu kepada calon perdana menteri dari kalangan mereka.

“Cuba tengok parti (PH) walau nak tipu, tapi kita tahu siapa yang dapat majoriti kalau bertanding (PRU). Akhirnya, kita Melayu berpecah.

“Kalau ini berlaku DAP yang akan punyai kerusi terbanyak berdasarkan perlembagaan merekalah yang layak bentuk kerajaan dan ikut perlembagaan, mereka berhak tentukan bakal perdana menteri.”

Tambah Ismail Sabri, perdana menteri Melayu yang bakal ditentukan oleh DAP juga bakal menjadi ‘orang suruhan’, seperti yang berlaku di Selangor, meskipun Azmin Ali sebagai menteri besar namun, yang menjadi penentu untuk sesuatu keputusan adalah pemimpin DAP.

“Kalau Lim Guan Eng hendak jadi perdana menteri, beliaulah yang akan menjadi perdana menteri.

“Kalau mereka tidak berani letak Guan Eng, boleh letak orang Melayu tapi jadilah orang Melayu seperti MB Selangor yang tidak boleh membuat kpeutusan kerana semua dikuasai Teresa Kok dan Hannah Yeoh dan sebagainya,” ketika ditemui di Pejabat UMNO Bahagian Ampang malam tadi.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, penggunaan logo PH tidak memberi apa-apa kesan kerana perkara tersebut masih belum dimuktamad sehingga mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Tambahnya, sekiranya mendapat kelulusan sekalipun, beliau percaya logo tersebut masih gagal ‘menyatukan’ kesemua parti dalam Pakatan Harapan berikutan percakaran yang berlaku dalam parti masing-masing di kalangan mereka.

“Logo HARAPAN itu saya tidak pasti sama ada sudah diluluskan ROS atau belum. Dulu mereka kata pernah mohon satu logo, tapi ditolak oleh ROS. Kali ini mungkin perkara sama boleh berlaku.

“Berbeza dengan Barisan Nasional, mereka (PH) susah untuk bersatu. Pembahagian kerusi untuk bertanding nanti bakal mengundang konflik di kalangan mereka. itu belum lagi masalah dalaman parti masing-masing.” – MalaysiaGazette