Latihan diadakan bagi mencegah ancaman keselamatan sepanjang Sukan Sea Kuala Lumpur berlangsung.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalani latihan mencegah sebarang krisis an ancaman keselamatan di KL Sentral Khamis ini sebagai persediaan Sukan Sea Kuala Lumpur ke-29 2017.

Sehubungan itu, orang ramai yang berada di situ dinasihatkan tidak merasa cemas, panik atau kelam kabut apabila terdengar bunyi tembakan atau letupan.

“Kami memilih pekarangan Terminal Udara KL Sentral sebagai lokasi menjalani Latihan Amal Ex-Rimau pada 20 Julai bermula jam 8 pagi,” kata PDRM melalui kenyataan kepada media di sini semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, latihan itu sebagai persiapan daripada segala kemungkinan berlaku ancaman sepanjang penganjuran Sukan Sea Kuala Lumpur yang berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos ini dan Sukan Para Asean dari 17 hingga 23 September.

Latihan membabitkan Unit Pemusnah Bom, Pasukan 69 Komando (VAT69), Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, Pasukan Polis Simpanan dan Jabatan Siasatan Jenayah.

Tahun ini adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea selepas pertama kali pada 1965, diikuti 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Dengan tema “Bangkit Bersama” dan menggunakan mascot “Rimau”, Sukan Sea kali ini menyaksikan penyertaan sebanyak 10 negara anggota Persekutuan Sukan Sea (SGF). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast