Jabatan Akauntan Negara

PUTRAJAYA – Orang ramai hari ini menyerbu ruang pameran Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) yang dibuka di ruang legar Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di sini bagi pameran dan semakan Wang Tak Dituntut (WTD) susulan tular mengenai perkara tersebut di media sosial.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk Putrajaya dan kawasan sekitarnya serta penjawat awam dari kementerian berhampiran beratur seawal kira-kira 9 pagi walaupun sesi tersebut hanya bermula pada jam 11 pagi hingga 3 petang.

Seorang kakitangan JANM yang bertugas di kaunter berkata, mereka beroperasi lebih awal dari masa ditetapkan memandangkan kehadiran begitu ramai orang yang ingin melakukan semakan di lapan kaunter Pendaftar WTD yang dibuka.

“Kita menerima kunjungan yang amat ramai pada hari ini dan mula membuka kaunter sekitar jam 10 pagi.

“Namun orang ramai perlu tahu bahawa semakan WTD juga boleh dibuat bila-bila masa pada waktu pejabat di Bahagian Pendaftar Wang Tak Dituntut, Tingkat 42, Menara Maybank, Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata semakan hanya boleh dibuat sendiri oleh pemilik akaun dengan hanya membawa kad pengenalan dan WTD akan dipindahkan terus ke mana-mana akaun mereka yang aktif.

Zaiton Syukur, 57, yang menetap di Bangi, Selangor datang bersama anak perempuannya ke Putrajaya hari ini bagi menyemak WTD miliknya selepas mesej tersebut tular di Whatsapp sejak minggu lalu.

Ditanya adakah beliau mengetahui semakan juga boleh dibuat di Menara Maybank pada bila-bila masa, beliau berkata tidak mengetahui mengenai perkara itu.

Norhayati Adon, 37, yang berkhidmat di Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman berkata beliau hadir hari ini bagi menyemak status WTD miliknya yang mungkin ada ketika membayar insurans dan baki kecil simpanan di bank-bank yang digunakan ketika zaman belajar sebelum ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast