Datuk Seri Salleh Keruak. foto IQBAL BASRI, 17 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil langkah proaktif apabila melakukan kerjasama dengan beberapa pengendali laman sosial di luar negara untuk menutup beberapa laman sosial palsu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, antara pengendali tersebut iaitu Facebook, Twitter dan Instagram.

Menurutnya, rundingan mengenai perkara itu telah dilakukan sebelum ini dan mendapat kerjasama yang baik daripada pihak berkenaan.

“Masalahnya yang kita hadapi sekarang ini adalah untuk mendapatkan bahan-bahan bukti bagi tujuan forensik yang perlu diperoleh sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Kalau kita padam ia (akaun palsu) akan wujud lagi. ini memerlukan proses yang berterusan dengan mempunyai matlamat tertentu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah terbuka Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabfri Yaakob serta Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mengulas lanjut Salleh berkata, pengendali laman sosial luar negara itu mempunyai peraturan dan langkah tersendiri untuk memadam akaun palsu yang diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, meskipun di negara ini telah diwujudkan Akta Komunikasi dan Multimedia yang boleh digunakan untuk menghukum mereka yang menyalahgunakan media sosial namun
ia perliu ditambah lagi dengan mewujudkan Akta Keselamatan Siber yang telah telah diserahkan kepada peguam negara untuk diteliti.

Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini terhadap status tindakan proaktif kementeriannya dalam memerangi penyebaran maklumat palsu apabila mengambil tindakan terhadap 1,500 akaun palsu yang dikenal pasti di negara ini.

Sebelum ini beliau berkata, kesemua akaun palsu dalam pelbagai platform media sosial berkenaan akan dipadamkan dan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti individu terlibat – MalaysiaGazette