Polis menahan seorang lelaki kerana merempuh polis trafik dalam Op Motosikal di bandar Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Gara-gara panik kerana tidak memakai topi keledar, seorang penunggang motosikal nekad merempuh polis trafik yang sedang bertugas dalam Op Motosikal di bandar ini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, akibat rempuhan tersebut anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi itu patah tangan kanan.

Kejadian itu berlaku pukul 10.03 pagi ketika mangsa sedang mengadakan operasi penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar sekitar bandar ini.

“Semasa operasi tersebut sedang dijalankan, pihak polis mendapati seorang lelaki sedang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

“Apabila pihak polis mengarahkan penunggang motosikal tersebut berhenti, lelaki berkenaan tiba-tiba telah melanggar anggota polis trafik yang sedang bertugas itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, akibat dari kejadian tersebut, anggota polis berkenaan cedera dan pemeriksaan lanjut di Hospital Kota Tinggi mendapatinya patah tangan kanan.

Susulan itu katanya, suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun berjaya ditahan di lokasi kejadian.

Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta lesen memandu diendorskan.

Salain itu turut disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya.

Jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua–duanya.

“Begitu juga kes disiasat bawah Seksyen 322 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah. Jika sabit kesalahan, penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here