PULAU PINANG – Pas negeri ini menyifatkan keengganan Kerajaan DAP Pulau Pinang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diunjurkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengukuhkan lagi persepsi umum terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang terpalit dengan skandal rasuah.
Sambil menyifatkan Kerajaan DAP Pulau Pinang keliru dan celaru terhadap prinsip asas perjuangannya, Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusof berkata, tindakan itu juga seolah-olah mengesahkan keraguan awam terhadap pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
Lebih mengecewakan, ujar beliau, keengganan itu seakan isyarat untuk tidak bersama pihak lain dalam memerangi perbuatan rasuah yang ditentang semua pihak.
“Apakah kerana DAP telah terjangkit penyakit demikian maka mereka malu untuk turut berkomitmen?
“Kononnya prinsip Cekap, Amanah dan Telus (CAT) dilaksanakan sejak 2008 lebih berkesan dalam usaha menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding IBR.
“Jika demikian mengapa satu demi satu skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa terbongkar serta menghadapi penyiasatan dan pertuduhan?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Muhammad Fauzi, Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat mengamalkan dwi standard apabila menolak menandatangani IBR itu sedangkan dalam masa sama melaungkan slogan anti rasuah.
Tindakan itu, ujar beliau, membuktikan CAT hanyalah alasan dan slogan semata-mata sedangkan hakikatnya Kerajaan DAP tidak punya ‘perasaan benci’ kepada rasuah, melainkan menjadikannya modal politik kepada pihak lawan.
“Bahkan perjuangan menentang kleptokrasi yang gah dilaungkan kepimpinan tertinggi DAP hanyalah satu retorik yang mana kini terlihat kepura-puraan itu secara nyata,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menempelak Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya belajar dengan Kerajaan PAS Kelantan yang sudah lama memerintah tetapi terbuka dan tidak pernah berhadapan isu rasuah. – MalaysiaGazette