Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK)

KUALA LUMPUR – Pembangkang disifatkan sebagai “tidak tahu malu” apabila meminta agar mereka dikaitkan dengan kejayaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji menyediakan sistem pengangkutan awam terbaik projek Transit Aliran Massa (MRT).

Sebuah laman portal pro BN melaporkan, tindakan wakil pemimpin pembangkang, Nurul Izzah Anwar yang membuat permintaan itu selepas pelbagai kritikan dan kecaman mereka lontarkan ke atas projek pengangkutan moden itu selama ini jelas menunjukkan mereka sedikitpun tidak rasa malu.

“Permintaan yang dibuat tanpa sedikit pun rasa malu itu dikemukakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan projek kedua fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di Kajang, Selangor hari ini (semalam).

“Nurul Izzah sekonyong-konyong memberi alasan kononnya penglibatan pemimpin pembangkang dalam projek tersebut merupakan tatacara yang telah lama dilaksanakan secara demokrasi di negara maju lain supaya mereka dilibatkan dalam projek kerajaan untuk rakyat tersebut,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, langkah tersebut adalah bagi membolehkan pembangkang terlibat secara langsung kepada operator dan pelaksana projek terlibat, dalam kes ini MRT Corp dan Prasarana Malaysia atas nama Parlimen.

Nurul izzah juga dikatakan memberi alasan pemimpin pembangkang mahu terlibat dalam projek itu kononnya bagi memastikan ia tidak membebankan pengguna dan kerajaan. – MalaysiaGazette