MELAKA – Reman terhadap dua beranak pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) disambung tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan salah guna kuasa meluluskan pemindahan wang RM4 juta pusat itu ke akaun syarikat milik mereka.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Majistret Mahkamah Melaka, Mohd Anuar Ostadi setelah dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kedua-dua suspek bapa dan anak masing-masing berumur 76 dan 43 tahun itu.
Terdahulu kedua-dua suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dengan tangan bergari tiba di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh di sini kira-kira 10 pagi diiringi pegawai daripada suruhanjaya itu.
Pada Selasa lepas (11 Julai) Mohd Anuar membenarkan reman selama tujuh hari terhadap kedua-dua suspek berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
— BERNAMA