Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua kanan) diberi penerangan oleh Pengerusi Ekovest Sdn. Bhd., Tan Sri Lim Kang Hoo (kanan) tentang model projek KL River City pada Majlis Pecah Tanah KL River City di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 18 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Projek KL River City mampu menangani masalah banjir kilat di ibu kota, Kuala Lumpur yang berpunca dari Sungai Gombak, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, projek pembangunan terbaharu Ekovest Berhad (Ekovest) bakal menjadi ikon terbaharu Kuala Lumpur yang akan memberi imej baharu kepada Sungai Gombak.

“Projek KL River City adalah satu projek berimpak tinggi yang memberi nafas baharu kepada 2.2 kilometer jajaran Sungai Gombak ke arah destinasi bertaraf dunia,” kata Tengku Adnan semasa majlis pecah tanah hari ini di Sentul.

Projek ini akan meremajakan dan mengubah sebahagian utara Kuala Lumpur dengan menyaksikan pemulihan dan transformasi Sungai Gombak yang akan menyediakan gaya hidup sungai dan lanskap yang tenang untuk orang ramai nikmati.

KL River City menawarkan aktiviti rekreasi dan riadah bertemakan air, taman-taman yang menarik, aktiviti berasaskan kesenian, penyediaan tram dan juga dilengkapi dengan kemudahan pengangkutan awam untuk kegunaan orang ramai dan pelancong yang akan berkunjung ke situ.

Sistem Gombak River Enhancement and Tunneling (GREAT) akan digunakan dalam membangunkan projek KL River City yang mampu menangani masalah banjir kilat selain kerja-kerja pengindahan sungai, aktiviti rekreasi dan pelancongan.

“Sistem GREAT adalah satu sistem bukan mekanikal yang bertujuan untuk menangani isu banjir di kawasan sekitar Sungai Gombak tersebut.

“Arus deras Sungai Gombak yang mengalir daripada hulu sungai tersebut semasa hujan lebat akan dialirkan ke terowong GREAT ini supaya kejadian banjir dapat dielakkan berlaku di kawasan sekitar sungai itu,” katanya.

Jelas beliau, sistem tersebut mampu menampung kapasiti arus deras Sungai Gombak yang mengalir daripada hulunya semasa kejadian hujan lebat.

Menurut Tengku Adnan, pembangunan KL River City juga akan melonjakkan nama bandaraya Kuala Lumpur setaraf dengan badar dunia lain.

“Pembangunan ini dilihat memenuhi ciri-ciri keperluan untuk melonjak nama bandaraya Kuala Lumpur setanding dengan nama bandar-bandar utama besar lain seperti Melbourne, Vienna, Vancouver, Toronto dan lain-lain,” katanya.

Pembangunan KL River City adalah berkeluasan 320 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM6 bilion.

Projek ini adalah di bawah Program Transformasi Ekonomi bagi Greater Kuala Lumpur untuk memulihkan Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Turut hadir dalam majlis pecah tanah adalah Pengerusi Eksekutif Ekovest, Tan Sri Lim Kang Hoo dan Pengarah Urusannya, Datuk Seri Lim Keng Cheng. – MalaysiaGazetteHuhu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast