Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencetuskan kontroversi di laman sosial apabila memuat naik sebuah rakaman video yang dikatakan mempunyai hubung kait dengan seorang menteri muda.

Pengendali Facebook rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers memuat naik rakaman tersebut yang memaparkan sesi latihan ketenteraan oleh TMJ bersama angkatan tentera Johor di Kem Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Berdasarkan pemerhatian pada rakaman audio itu, Tunku Ismail berkata, sesi latihan itu adalah rutin yang sering dilakukan oleh angkatan tentera di negeri berkenaan dan dilakukan pada setiap dua atau seminggu sekali.

Rata-rata netizen yang menonton video tersebut mendakwa sepotong ayat kenyataan sinis oleh Tunku Ismail dalam video itu ditujukan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini telah ditauliahkan sebagai Brigadier Jeneral dalam Rejimen 503 Askar Wataniah.

Akan tetapi, ada juga segelintir pengguna laman sosial berpendapat ia bukan ditujukan kepada Khairy ekoran menteri Kabinet itu menjalani latihan sebenar sebagai askar wataniah.

Media tempatan pernah melaporkan Khairy menjadi menteri pertama berpangkat Brigadier Jeneral sebenar dalam Rejimen Askar Wataniah dan kekal menjadi Komander Rejimen 508 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan.

Khairy dinaikkan pangkat daripada Kolonel ke Brigadier Jeneral berkuat kuasa 14 Januari 2015.

Meskipun Tunku Ismail tidak menyebut individu berkenaan, namun, rata-rata netizen menganggap bahawa kata-kata sinis iaitu “Di sini tiada orang yang pakai pangkat ‘free’ telah menimbulkan persoalan yang akhirnya membuatkan mereka merujuk dan meneka individu yang dimaksudkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast