KUALA LUMPUR – Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional meminta supaya lagu popular dari Sepanyol, Despacito diharamkan.

Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaannya, Atriza Umar dalam satu kenyataan berkata, lagu tersebut mengandungi lirik lucah dan tidak sesuai di negara ini yang menjunjung adat ketimuran serta agama Islam.

“Saya memandang serius perkara ini kerana lagu tersebut terus menjadi siulan anak-anak muda tanpa mereka memahami maksud sebenar lagu tersebut.

Radio-radio tempatan termasuk berbahasa Melayu yang turut sama memutarkan lagu tersebut menyebabkan fenomena lagu tersebut seperti sukar dikawal lagi,” katanya yang kesal kerana lagu-lagu seperti itu tidak ditapis penyiarannya oleh kementerian yang bertangggung jawab.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia perlu segera memainkan peranan dengan bertegas dalam isu seperti ini yang boleh merosakkan moral dan gaya berhibur masyarakat dalam negara ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette