Pengasas untuk Big Blue Farms & Feedlot Sdn Bhd, Dato Shamsubahrin Ismail menunjukkan kelulusan import produk haiwan 2016 pada sidang media Goverment Should Take Stern Action Without Any Messy Because It Is Involving Industry Players, Buyers & Worse Is The Muslim & Islam Community di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – “Bagaimana JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan JPV (Jabatan Perkhidmatan Veterinar) boleh beri lesen permit import kepada syarikat bukan islam untuk membekalkan daging ke Malaysia?”

Itu pertanyaan Penasihat Big Blue Farms and Feedlot Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail.

Beliau yang juga pengusaha syarikat pembekal daging ke rangkaian pasaraya terkemuka di seluruh Malaysia mengakui terkejut dengan berita Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas empat kontena daging kambing yang bercampur dengan daging babi pada minggu lalu.

Malah Shamsubahrin mempertikaikan bagaimana agensi kerajaan yang meluluskan permit import kepada beberapa syarikat milik bukan Islam sedangkan ia bertentangan dengan syarat sah untuk mendapatkan permit.

“Pasaraya membeli daging daripada pengimport untuk jual. Jadi pasaraya akan bergantung kepada permit yang dikeluarkan. Jadi sekarang saya pertikai standard pengeluaran permit. Kenapa dikeluarkan permit kepada syarikat yang bukan Islam? Sebab kita negara islam,” ujarnya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Sebagai pengedar daging import, beliau khuatir dengan tahap halal daging yang diimport kerana orang Islam di Malaysia merupakan pasaran utama jualan daging kambing, lembu dan kerbau.

Pada sidang media yang sama beliau turut mempertikaikan bagaimana syarikat bukan islam memonopoli pasaran daging tempatan.

Walaupun majoriti permit yang dikeluarkan kepada 117 syarikat adalah milik orang Islam namun beberapa syarikat milik bukan islam memonopoli pasaran tempatan sehingga mampu menetukan harga pasaran.

Mengatasi masalah ini, Shamsubahrin mendesak agar monopoli pasaran harus dihapuskan dan membuka pasaran secara adil.

Beliau meletakkan kesalahan itu kepada JPV kerana gagal memantau permit yang dikeluarkan sehingga mengakibatkan pasaran daging tempatan diragui tahap halal.- MalaysiaGazette