Wednesday, December 25, 2024
Home Utama Kerajaan tidak berhasrat ubah harga petrol secara harian

Kerajaan tidak berhasrat ubah harga petrol secara harian

Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Kerajaan setakat ini belum berhasrat untuk menukar mekanisme penetapan harga minyak petrol dan diesel secara mingguan kepada harian.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, formula penetapan harga bahan api yang dicadangkan oleh Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini juga memerlukan masa serta penelitian secara menyeluruh.

 “Elok kita bagi sedikit masa untuk KPDNKK menyelaras bagaimana (penetapan) mekanisme perubahan harga mingguan ini.

“Jika dilaksanakan mengikut penetapan harga harian, ia memerlukan persediaan yang rapi manakala pengusaha dan pemilik syarikat minyak juga perlu membuat persiapan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Johari berkata, penetapan harga minyak secara mingguan akan diteruskan buat masa ini sehingga keputusan lebih baik dapat dicapai yang dapat memberi faedah kepada semua pihak termasuk rakyat serta kalangan pengusaha bahan api berkenaan.

“Penetapan harga minyak mingguan setakat ini nampak ‘ok’ dah. Semua orang boleh mendapat manfaatnya.

“Pada akhirnya kelak, kerajaan tidak mahu ambil duit daripada pengguna. Kalau harga minyak jatuh, pengguna mesti mendapat manfaat dan begitu juga kalau harga minyak naik bermakna pengguna kena menanggungnya (kesan kenaikan),” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast