KUALA LUMPUR – Seorang pelajar undang-undang, S Simren Singh, 27 yang tular dalam media sosial berlagak membuli pengguna jalan raya lain memiliki sebanyak 25 saman tertunggak yang tidak dijelaskan sejak tahun 2012.

Simren didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan melakukan khianat dengan melanggar kereta seorang lelaki.

Berdasarkan semakan daripada sistem, Simren didapati memiliki saman berjumlah RM4350 yang masih belum dijelaskan.

Saman tersebut dikeluarkan ke atas kenderaan terdahulu yang digunakannya dengan nombor plat WKS 3280, WYK 7725, BLA 757 dan WQB 7.

Kebanyakkan saman dikeluarkan adalah atas kesalahan memandu laju, tidak mematuhi lampu isyarat dan lain-lain kesalahan lagi.

Melalui video berdurasi 1 minit 14 saat yang dimuat naik pada 16 Julai lalu di Facebook, dua lelaki dilihat bergaduh sejurus kemalangan berlaku manakala beberapa penunggang motosikal mententeramkan keadaan.

Mengikut pertuduhan, Simren itu didakwa melakukan khianat dengan mengundurkan kereta dan melanggar bahagian bumper hadapan kereta dipandu Mohd Kamil Mokhtar, 49.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Pahang menghala Jalan Genting Klang, pada 12.45 tengah hari, 13 Julai lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast